Dobi Merah Jambu Di Kuala Nerus Tarik Perhatian


KUALA NERUS - Lukisan mural karakter watak animasi Hello Kitty yang menghiasi dinding sebuah dobi di Gong Badak berjaya menarik minat orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan dobi layan diri yang beroperasi 24 jam.

Ruang menunggu yang lengkap dengan kerusi, meja dan WiFi memberi keselesaan kepada pelanggan sehingga ada yang terasa seperti berada di rumah tatkala menunggu pakaian mereka siap dibasuh.

Lebih menarik apabila dinding kedai dobi diberi nama Dobi Hello milik pasangan Irwan Syazdi Mazri, 37, dan Suzilla Awang, 34, itu sering menjadi tumpuan pelanggan untuk bergambar.

Suzilla dari Gong Badak itu berkata, idea untuk melukis mural Hello Kitty tercetus kerana dia sendiri meminati warna merah jambu yang sinonim dengan watak animasi itu.

“Sebagai wanita memang saya sendiri mudah tertarik dengan warna merah jambu, jadi di situlah tercetusnya idea untuk mendekorasikan dobi ini dengan warna itu dan diserikan dengan lukisan Hello Kitty.

“Selain menyediakan empat mesin basuh automatik yang setiap satu boleh memuatkan 30 kilogram pakaian, dobi kami juga menyediakan empat mesin pengering automatik dan satu mesin pertukaran wang syiling,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Suzilla berkata, dia dan suami memulakan perusahaan itu dengan modal sendiri berjumlah RM250,000.

“Kami membeli semua mesin dengan harga RM160,000 manakala RM90,000 lagi digunakan untuk menyediakan kemudahan lain termasuk dekorasi dan mengecat dobi.

“Kami harap dengan ada dobi layan diri ini, kami dapat membantu memberi perkhidmatan kepada penduduk tempatan khususnya penuntut universiti di sekitar kawasan ini untuk kemudahan membasuh baju selama 24 jam setiap hari,” katanya.

Sumber: MyMetro