Dr. Kamarul Minta Dr. MAZA Semak Ucapan Tun M Tentang Siapa 'Khianati Melayu'


Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr. Kamarul Zaman Yusoff meminta Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA) menyemak semula ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum bekas Perdana Menteri itu bersekongkol dengan DAP.

"Sesiapa sahaja yang mahu membela Dr Mahathir dalam soal membela Melayu ini juga perlu mengulas pelbagai ucapan dan tulisan beliau yang sebelum ini begitu kuat sekali menyelar orang Melayu yang bersekongkol dengan DAP sebagai “pengkhianat Melayu”, katanya.

Namun, kata Dr. Kamarul,  kini beliau  (Mahathir) sendiri yang bersekongkol dengan DAP.
  .
Pensyarah kanan UUM itu berkata demikian mengulas kenyataan terbaru Dr. MAZA yang membela  Penasihat PPBM dan Pengerusi Pakatan Harapan itu daripada tuduhan sebagai “pengkhianat Melayu.”

Semalam dilaporkan Mufti Perlis dilaporkan berkata: "Seingat saya, ditambah dengan pengenalan saya secara dekat dengan Tun M sejak tahun 2007, beliau lebih fikir tentang nasib orang Melayu jika dibandingkan ramai yang lain. Saya banyak kali berbual secara peribadi dengan beliau sejak dahulu. Saya kata 'hati nurani beliau sangat Melayu'.”

Menurut Dr. Kamarul lagi, adalah tidak cukup bagi sesiapa yang mahu membela Dr Mahathir dalam soal ini, apatah lagi jika beliau mempunyai latarbelakang akademik, untuk menjustifikasikannya secara mudah dengan menyebut istilah “setahu dan seingat saya” atau berdasarkan “pengenalan saya secara dekat dengan Tun M sejak tahun 2007”

"Sesiapa sahaja yang mahu membela Dr Mahathir dalam soal ini perlu memberi data-data konkrit mengenai sejauh manakah nasib orang Melayu terbela di bawah pemerintahan beliau daripada tahun  1981 ke 2003 bagi menyokong hujah bahawa beliau “lebih fikir tentang nasib orang Melayu dibandingkan ramai yang lain”, kata Dr. Kamarul lagi.

Beliau yang juga Felo Utama Institut Kajian Stategik Islam Malysia (IKSIM) berkata ini kerana tuduhan Dr Mahathir “pengkhianat Melayu” timbul sebagai reaksi kepada persekongkolan beliau dengan DAP sekarang.

"Sedangkan Dr. Mahathir dalam tulisan pada 6 Jun 2013,  terang-terang menyebut DAP adalah parti rasis yang membenci orang Melayu dan mahu mendominasi politik Malaysia," kata Dr. Kamarul pada tulisannya dalam Facebook hari ini.

Menurut beliau lagi, bekas Timbalan Presiden UMNO yang kini  Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri pun pernah menyebut dalam ucapan perasmian Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada 1 Disember 2011 bahawa “orang Melayu yang bersekongkol dengan DAP adalah pengkhianat bangsa”.

"Sebab itulah sebarang pembelaan ke atas Dr Mahathir yang tidak disertakan rekod terbela atau tidak terbelanya nasib orang Melayu di bawah pemerintahan beliau dari 1981 ke 2003, serta yang tidak disertakan penjelasan mengenai persekongkolan beliau dengan DAP, adalah pembelaan yang lemah, " ujarnya lagi.

Menurutnya, pembelaan Dr MAZA ke atas Dr. Mahathir daripada tuduhan sebagai “pengkhianat Melayu”, tanpa disertakan pembelaan sama terhadap komitmen  Dr Mahathir terhadap Islam, juga secara tidak langsung menjadi petunjuk yang jelas bagi Dr MAZA bahawa Dr Mahathir tidak boleh dibela dari sudut Islam.

"Sangat sukar dijumpai ucapan atau tulisan Dr MAZA yang menjulang Dr Mahathir dari sudut komitmen bekas Perdana Menteri itu terhadap Islam, malah yang akan ditemui adalah rekod beliau mengkritik Dr Mahathir, tetapi hanya secara sangat lembut atau terselindung, walaupun kesalahan Tun Dr Mahathir besar, " kata Dr.Kamarul.

Sebagai contohnya, pernah berlegar dalam dunia maya satu waktu dahulu rakaman ucapan  Dr Mahathir dalam Konvensyen Kebangsaan Politik dan Patriotisme (K2P) di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 26 Februari 2012 yang mendakwa hukum hudud tidak terdapat dalam al-Qur’an.

Bagaimanapun, kata Kamarul Zaman, reaksi Dr MAZA pada 1 Mac 2012 terhadap ucapan  Dr Mahathir ini sangat lembut sekali, iaitu Dr Mahathir silap menggunakan istilah dan tiada reaksi lanjutan diberikan oleh Dr MAZA bila  Dr Mahathir membakulsampahkan permintaan beliau supaya kenyataan tersebut diperbetulkan.

Dalam hal ini, kata Dr. Kamarul, Mufti Perlis itu tidak jujur, malah mengamalkan sikap double standard dalam komentar-komentar beliau terhadap Dr Mahathir dan perkara ini tidak sepatutnya wujud pada seorang mufti yang mempunyai latarbelakang akademik. - kedahnews.com