Durian Malaysia Terbaik Di Dunia – Kata VIP China


QINZHOU – “Durian Malaysia adalah yang terbaik di dunia,” kata Setiausaha Parti Komunis China (CPC) Jawatankuasa Qinzhou, Wang Gebing semasa kunjungan hormat delegasi Malaysia diketuai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Walaupun Malaysia masih belum mendapat kelulusan kerajaan China untuk mengeksport durian segar terutama jenis Musang King yang popular, Wang berkata raja buah itu sentiasa diminati rakyat China, lebih-lebih lagi masyarakat Qinzhou, dan mereka tidak sabar menunggu hasil positif rundingan berhubung perkara itu.

Ahmad Shabery, yang kini berada di China sempena Festival Durian Malaysia 2017 (MDF2017) di Guangzi, menjawab bahawa durian adalah simbol kasih sayang dan kebahagiaan di Malaysia dan kerajaan memutuskan untuk menganjurkan festival itu bagi berkongsi kegembiraan dengan rakyat China.

“Semasa (lawatan awal pada 2016) saya bertanya setiap orang yang saya temui di China, adakah anda suka durian? Saya terkejut dengan jawapan positif yang diberikan, sebab itu saya cadangkan untuk anjurkan festival durian di sini. Kerana di Malaysia, ia dipanggil raja buah, melambangkan kasih sayang dan kebahagiaan.

“Lawatan kali ini saya bawa sekali pihak industri dalam perniagaan durian dan sarang burung untuk memberi kebahagiaan dan berkongsi apa yang disukai oleh rakyat Malaysia. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada China atas hubungan mesra ini dengan menganjurkan festival durian ini,” katanya kepada pemimpin tertinggi Qinzhou itu.

Menteri itu yang diiringi Duta Besar Malaysia ke China Datuk Zainuddin Yahya, Konsul Jeneral Malaysia di Nanning Bong Yik Jui, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Mohd Sallehuddin Hassan dan pegawai kanan lain.

Semasa pertemuan itu, kedua-dua pemimpin juga membincangkan tentang kemungkinan lain untuk meningkatkan hubungan Malaysia-China melalui Qinzhou, termasuk mengukuhkan industri makanan halal di China, pusat penyelidikan dan pembangunan untuk perubatan herba serta perdagangan produk marin.

Bercakap kepada media kemudian, Ahmad Shabery menyampaikan penghargaan tertinggi kepada kerajaan China kerana sangat menyokong inisiatif Malaysia untuk mengeksport durian segar serta mengeksport semula sarang burung mentah, terutama setiausaha CPC jawatankuasa Qinzhou itu sendiri, sudi bertemu dengannya.

“Ia satu pertemuan yang hebat kerana dalam konteks sistem politik China, biasanya pemimpin kalau daripada kementerian dan sebagainya hanya berjumpa kerajaan. Pada asalnya saya dijadualkan berjumpa gabenor (sewaktu di Guangxi semalam), tapi perubahan terakhir saya bertemu setiausaha parti bagi provinsi (Guangxi) ini.

“Ertinya satu kedudukan lebih tinggi dan ketika di sini (Qinzhou) saya berjumpa setiausaha parti di peringkat sini, lebih tinggi daripada datuk bandar itu sendiri. Ini satu penghormatan besar kepada Malaysia, dan mereka percaya melalui pertanian, dapat eratkan hubungan antara dua negara, dan bagi saya, ini ruang untuk kita memasuki pasaran terbesar dunia,” katanya lagi.

Semasa lawatan delegasi Malaysia ke Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia kemudian, menteri itu juga diberi peluang untuk merasmikan pembukaan Pangkalan Perdagangan Pemprosesan Sarang Burung CMQIP.

Menurut kenyataan media kementerian itu, Malaysia menyasarkan untuk menghasilkan 1,000 tan metrik (MT) sarang burung, yang terdiri daripada produk mentah dan diproses setiap tahun menjelang 2020, dengan nilai eksport kira-kira RM20 bilion.

Malaysia masih dalam rundingan dengan kerajaan China untuk membenarkan mengeksport semula sarang burung mentah belum bersih ke negara itu apabila komoditi tersebut dijangka mencecah 600MT menjelang 2020 dengan nilai RM1.7 bilion. – BERNAMA