'Elaun Saya RM15 Sehari Dulu'


“USAH terlalu kejar ganjaran, kami dulu hanya dapat RM15 sehari sebagai elaun mewakili negara,” kata legenda bola sepak negara, Datuk Shukor Salleh kepada pemain bola sepak di negara ini.

Ia susulan luahan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa segelintir pemain ketika ini lebih memikirkan soal ganjaran berbanding fokus utama mendapatkan keputusan terbaik dalam perlawanan.

Bagi Shukor, semua pemain seharusnya menyemai matlamat untuk berada pada tahap tertinggi kerana mereka dianggap sebagai duta yang membawa nama negara.

“Waktu saya dulu, jika main luar negara dapat elaun banyak sikit kira-kira RM30. Jadi, kalau fikir soal duit, mungkin kami tak main bola masa itu kerana tak berbaloi.

“Malah, bagi kami bola sepak pun hanya kerja sambilan dan ia menjadi satu pengorbanan untuk negara. Kami rela korbankan masa rehat demi minat dan semangat menaikkan nama Malaysia.

“Bagi saya, apa yang penting matlamat pemain itu sendiri untuk mencapai kejayaan pada tahap tertinggi selain menaikkan nama skuad kebangsaan,” katanya yang bekerja sebagai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika mewakili negara pada era 70-an dan awal 80-an.

Pada sidang media di Johor Bahru, Khamis lalu, Tunku Ismail mendedahkan bukan sahaja pemain senior, malah pemain skuad bawah 22 tahun juga didakwa sudah mula mementingkan soal ganjaran.

Malah, prestasi skuad kebangsaan juga terus berada dalam kebimbangan apabila jatuh ke tangga 174 dunia dalam ranking terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Khamis lalu.

Selain itu, Shukor yang bersama skuad Olimpik Moscow 1980 turut menyifatkan sebahagian besar pemain sekarang ini tidak memahami apa yang mereka perlukan sebagai atlet sukan bola sepak yang sudah memasuki era profesional.

“Pemain perlu tetapkan KPI (petunjuk prestasi utama) dalam diri masing-masing untuk berada pada tahap tertinggi dan bukan mudah berpuas hati selepas mendapat gaji lumayan.

“Sebab itu kita tak nampak peningkatan mereka dan permainannya mati setakat itu saja. Hanya beberapa kerat pemain yang betul-betul berusaha meningkatkan prestasi diri.

“Jika prestasi pemain berada pada tahap terbaik dan memiliki standard tinggi, jadi tiada masalah untuk skuad kebangsaan mendapatkan pemain berkualiti,” ujarnya.

Sumber: MyMetro