PADANG BESAR - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis membuat pemantauan berterusan pada musim hujan bagi mengelak kejadian banjir tidak terkawal, kata Pengerusi Jawatankuasa Sumber Asli dan Alam Sekitar negeri Datuk Mat Rawi Kassim.
Katanya pemantauan itu turut membabitkan kawasan berisiko tinggi dilanda banjir dibuat 24 jam setiap hari sejak hujan turun berpanjangan beberapa hari lepas.
"JPS akan melepaskan air Empangan Timah Tasoh apabila melebihi paras normal. Pelepasan ini untuk mengelak limpahan air yang boleh menyebabkan banjir melanda beberapa perkampungan berhampiran empangan berkenaan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Menurut Mat Rawi, semalam JPS terpaksa membuka empat pintu empangan terbabit untuk melepaskan air secara terkawal ke sungai-sungai berhampiran berikutan hujan berterusan selama dua hari sejak Ahad lepas.
"Aliran air menuju ke laut menjadi lebih laju kerana JPS telah menjalankan kerja-kerja penstabilan tebing sungai dan mendalamkan sungai-sungai yang cetek. Setakat ini, hampir 80 peratus kerja-kerja tersebut yang melibatkan kos sebanyak RM6 juta melalui peruntukan kerajaan pusat telah siap," tambahnya. - Bernama