PAPAR - Enam individu termasuk empat wanita berdepan detik cemas apabila pacuan empat roda jenis Toyota Vigo yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu terjunam ke dalam gaung di Jalan Utama Keningau-Papar, Batu 3, Kampung Walit di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang tersebut, kesemua mangsa dipercayai warga emas hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Papar dekat sini untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, identiti mangsa masih dalam siasatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Janil Jaya berkata, seramai enam anggota bomba segera dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.22 petang.
"Difahamkan, sebelum kejadian kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari daerah Keningau menuju ke Papar.
"Sebaik sahaja menuruni bukit di kawasan kejadian dipercayai Toyota Vigo terbabit hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 25 meter," katanya kepada Kosmo! hari ini.
Tambah Janil, tiba di lokasi pasukan bomba bergegas turun ke bawah menggunakan tali dan membawa pengusung bagi operasi menyelamatkan mangsa yang berada di dalam gaung tersebut.
"Selepas dibawa keluar pasukan bomba memberi rawatan awal sebelum mangsa- mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut," jelasnya.
Operasi tamat pada pukul 6.05 petang dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Sumber - Kosmo