Enam Peniaga Dicekup Tak Solat Jumaat


KUALA BESUT - Kedegilan dan keengganan enam peniaga di Pasar Sehari Kuala Besut mematuhi nasihat Penguatkuasaan Syariah untuk pergi solat Jumaat mengundang padah apabila mereka diberkas anggota terbabit Jumaat lepas.

Enam lelaki Islam itu diberkas hasil Ops Ponteng Jumaat membabitkan 14 anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dibantu 12 anggota penguat kuasa  Pejabat Agama Daerah Besut termasuk tujuh anggota wanita.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata, lelaki berusia 15 hingga 40 tahun itu ditahan ketika berada di tapak pasar sehari tersebut sebaik selesai solat Jumaat.

Menurutnya, terdahulu sebelum itu ketika pasar sehari masih beroperasi, anggotanya telah membuat pengumuman dengan pembesar suara secara bergerak menerusi kenderaan kira-kira jam 12.30 tengah hari di kawasan tersebut.

“Kami minta supaya lelaki Islam di kawasan tersebut pergi menunaikan solat Jumaat apabila masuk waktu.

“Pada masa sama seramai tujuh anggota wanita d tempatkan di situ untuk mengenal pasti lelaki yang ponteng solat Jumaat," katanya.

Wan Mohd berkata, hasil pemerhatian anggota terbabit mendapati terdapat enam peniaga tidak pergi solat sebaliknya terus berada di kawasan itu sambil mengemas barang mereka untuk pulang.

"Sebaik selesai solat Jumaat, penguat kuasa lelaki bergegas ke lokasi dan menahan kesemua mereka yang mengusahakan pelbagai perniagaan.

"Mereka kemudiannya dibawa ke Pejabat Agama Daerah Besut dan akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Besut," katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 iaitu mana-mana lelaki akil baligh yang tidak menunaikan solat Jumaat di masjid kecuali terdapat keadaan dibenarkan hukum syarak merupakan suatu kesalahan.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali," katanya.

Sumber: Sinar Harian