Facebook Akses Automatik Padam Gambar Berkaitan Keganasan


NEW YORK - Facebook kini sedang membangunkan satu sistem khas untuk memadam sebarang gambar atau maklumat berkaitan keganasan yang dimuat naik ke dalam laman sosial itu secara automatik.

Dengan ada sistem tersebut, segala maklumat berkaitan al-Qaeda atau mana-mana rangkaian kumpulan pengganas Daesh akan terpadam dengan sendiri sebelum sempat dipadamkan oleh pemilik akaun yang berkenaan.

Selain gambar, video berkaitan pengganas juga akan terpadam secara automatik sebaik sahaja dimuat naik ke dalam laman sosial itu, lapor BBC.

Bagaimanapun, syarikat berasaskan teknologi itu mengakui projek tersebut mungkin memakan masa yang agak panjang kerana perlu mengenal pasti rangkaian kumpulan pengganas lain terlebih dahulu.

Difahamkan, pengasas syarikat itu, Mark Zuckerberg mula memperkenalkan rancangan tersebut sejak Februari lalu.

Zuckerberg sendiri pada masa itu mengakui sistem berkenaan mungkin memakan masa sehingga ‘bertahun-tahun’ untuk dibangunkan sebelum boleh beroperasi sepenuhnya.

Dalam pada itu, syarikat terbabit memaklumkan, al-Qaeda dan Daesh menjadi tumpuan mereka kerana kedua-dua kumpulan pengganas itu mewakili ‘ancaman global terbesar’ ketika ini.

Pada masa yang sama, mereka mengingatkan bahawa usaha mengesan kumpulan pengganas lain juga tidak semudah yang disangka.

Menurut ketua polisi antikeganasan serta ketua polisi global Facebook, Brian Fishman dan Monika Bickert dalam satu kenyataan bersama, sistem tersebut hanya dibangunkan oleh menganalisis satu-satu kumpulan pengganas sahaja buat masa ini.

Justeru kata mereka, sistem yang sama mungkin tidak memberi kesan kepada kumpulan pengganas lain terutamanya jika ia melibatkan perbezaan bahasa atau propaganda.

“Bagaimanapun, kami berharap agar sistem ini boleh diguna pakai untuk mengesan organisasi yang menyokong keganasan di peringkat domestik juga,” katanya.

Sumber: Utusan Online