Faktor-Faktor Kedatangan Orang Siam Ke Kedah

Kedatangan orang Siam ke Tanah Melayu amnya dan ke Kedah khasnya tidaklah seperti kedatangan kaum-kaum imigran yang lain seperti India ataupun Cina. Kaum India dan Cina telah di bawa masuk secara sistematik oleh pemerintah Inggeris pada akhir abad ke 19. 

Manakala kedatangan masyarakat Siam ke Kedah bukanlah kedatangan yang dirancang untuk memenuhi keperluan kuasa kolonial pada masa itu. Kedatangan golongan ini lebih merupakan lanjutan dari peristiwa yang telah wujud sebelumnya seperti peperangan ataupun krisis ekonomi yang teruk yang memaksa mereka melakukan penghijrahan.


Pada tahun 1813, ramai rakyat Patani telah melarikan diri ke Perak, Kelantan, Kedah dan Perlis akibat serangan yang dilakukan oleh Rama II (1809-1824) kerana keengganan pemerintah Patani, Datuk Kun Pengkalan tunduk dan mengakui kedaulatan Siam ke atas Patani. 

Setelah Patani dikalahkan oleh Siam pada tahun 1813, ia telah menjadi sebuah wilayah di bawah naungan Siam dan pemerintah Patani terpaksa menghantar Bunga Mas ke Bangkok. Patani bukan saja diletakkan dibawah naungan Siam malah wilayag itu terus ditindas. Penindasan ini telah membawa akibat yang buruk kepada orang Thai Islam.

Pada tahun 1813, orang Siam dari daerah Songkla (Singora) dan Nakhorn Srithammarat telah masuk ke Kedah secara beramai-ramai. Kedatangan mereka ke sini disebabkan terdapatnya satu krisis ekonomi yang serius. 


Untuk mendapatkan taraf hidup yang lebih baik menyebabkan mereka berhijrah ke Kedah. Kemasukan orang Siam ke Kedah secara beramai-ramai pada abad ke 19 adalah berdasarkan polisi yang dijalankan oleh Rama III (1824-1851). 

Pada masa pemerintahannya, Rama III telah menjalankan polisi meluaskan tanah jajahannya ke bahagian selatan negaranya iaitu di bahagian-bahagian Utara Tanah Melayu. Pada ketika itu Kelantan, Terengganu dan Patani telahpun ditakluki olehnya, yang tinggal hanyalah Kedah belum ditakluki.

Dengan dasarnya ini Rama III telah menyebabkan pertambahan orang Siam di Kedah. Bilangan ini semakin bertambah dari semasa ke semasa.


Tidak kurang juga penduduk Siam yang masuk ke Kedah akibat dari aktiviti-aktiviti jenayah yang dilakukan di negara asal mereka (Thailand). Oleh itu, mereka melarikan diri ke Kedah kerana takutkan tindakan dari pemerintah Thailand. 

Keadaan ini berlaku kerana pada masa itu undang-undang keluar masuk orang asing ke Kedah masih belum dikuatkuasakan lagi. Dengan itu kemasukkan orang asing dipandang ringan sahaja oleh pihak pemerintah sehinggalah tahun 1932. Namun begitu sehingga tahun 1940an masih lagi terdapat kemasukan secara haram oleh orang Siam ke Kedah. 

Pada bulan April 1948 pasukan polis dan tentera Bangkok telah menyerbu sekumpulan penduduk Patani yang sedang membuat ibadat di daerah Dusun Nyior Benghara. Dalam serbuan itu seramai 266 orang telah mati dan beribu-ribu yang lainnya telah lari masuk ke Tanah Melayu.


Di samping krisis ekonomi, tindakan pemerintah Siam terhadap penduduk di bahagian Selatan Thai dan juga peperangan yang berlaku antara Siam dan Kedah terdapat satu golongan orang Thai yang dikenali sebagai Sam-Sam Siam sengaja dibawa masuk ke Kedah semasa berlakunya peperangan. 

Golongan Sam-Sam ini dipercayai berasal dari tawanan-tawanan perang Siam yang terdiri orang-orang Melayu yang ditangkap semasa Perang Kedah Siam pada abad ke 14. Mereka ini di bawa balik ke Siam dan kemudian keturunan mereka inilah di bawa balik ke Kedah semula pada abad ke 19, iaitu semasa Kedah berperang dengan Siam. 

Mereka dikatakan sebagai golongan Sam-Sam kerana mempunyai darah campuran Thai dan Melayu atau Cina. Pada masa sekarang golongan ini terdapat di Kubang Pasu, Padang Terap, Baling dan Kroh - Kedahnews.com