FAM, Bekas Pemain Perlu Duduk Semeja - Dali


KUALA LUMPUR  - Legenda bola sepak Kelantan, Dali Omar mengemukakan cadangan agar pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat mengadakan pertemuan bersama bekas pemain kebangsaan bagi membincangkan hala tuju skuad negara.

Dali mewakili Kelantan pada 1964 hingga 1972 sebelum berkelana selama 29 tahun di Australia berkata selepas melihat prestasi skuad Harimau Malaya yang semakin merudum berpendapat dengan mengadakan perbincangan bersama bekas pemain mampu mencambah idea baharu.

“Saya fikir ada baiknya Presiden FAM (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) bersama barisan pimpinan tertinggi badan induk itu duduk semeja bersama bekas pemain kebangsaan untuk membincangkan mengenai masalah yang dihadapi oleh skuad kebangsaan ketika ini.

“Adakalanya proses percambahan idea dengan mengadakan perbincangan bersama bekas pemain dapat menyelesaikan masalah. Tambahan pula dengan mengadakan pertemuan tersebut FAM dapat mendengar pendapat atau idea daripada bekas pemain. Jangan ikut kepala sendiri sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dali berkata demikian selepas diminta mengulas lanjut mengenai prestasi Malaysia yang semakin merosot apabila berdasarkan ranking terbaharu yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Harimau Malaya menduduki tangga ke-174 iaitu kedudukan paling teruk dalam sejarah.

Selain itu juga, Dali turut berpendapat tindakan FAM mengambil Nelo Vingada sebagai jurulatih Harimau Malaya adalah tidak tepat kerana bukan sahaja ranking malah Malaysia tidak pernah mencatat walau satu kemenangan sepanjang berada di bawah pimpinan pengendali dari Portugal itu.

“(Yang) pergi tukar jurulatih luar (import) itu nak buat apa. Lebih baik guna jurulatih tempatan. Jangan sibuk sangat nak ambil orang (jurulatih) luar. Berhentikan sahaja Vingada itu.

“Tiada satu pun perlawanan yang kita menang sejak Vingada mengambil alih Harimau Malaya,” katanya lagi.

Vingada, 64, dilantik untuk mengemudi Harimau Malaya pada Mei lalu gagal melakar sebarang kemenangan selepas membimbing Malaysia dalam tujuh perlawanan malah skuad kebangsaan turut tersingkir daripada melayakkan diri ke Piala Asia 2019.

Sumber: Utusan Online