FAMA Nafi Harga Ikan, Sayur Naik Sehingga 300%


ALOR SETAR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menafikan dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa berlaku kenaikan sehingga 300 peratus harga ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan berikutan musim hujan sejak kebelakangan ini.

Menurut Pengerusinya Tan Sri Badruddin Amiruldin, berkata harga barangan keperluan tersebut hanya mengalami kenaikan 120 peratus ekoran masalah logistik dan stor simpanan bekalan makanan yang rosak akibat dimasuki air banjir tempoh hari.

“Dari segi bekalan, ia bukan datang dari Pulau Pinang sahaja tetapi dari negeri lain seperti Perak dan Selangor, jadi tidak timbul isu harga naik sehingga 300 peratus.

“Sekiranya benar sekali pun, ia hanya sementara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Keusahawanan Peruncitan FAMA Zon Utara di sini, semalam.

Pada Isnin lepas, Presiden CAP S.M Mohamed Idris dalam satu kenyataan, berkata harga barangan keperluan berkenaan mengalami kenaikan sehingga 300 peratus dalam tempoh seminggu bermula 15 Nov berikutan musim hujan sejak beberapa minggu ini.

Sementara itu, Badruddin pula berkata, pihaknya memberi jaminan tidak akan berlaku masalah bekalan bahan mentah di pasar belian atau outlet di bawah agensi berkenaan.

Jelasnya seperti yang dilaporkan Bernama, ini kerana, FAMA memiliki Skim Stok Simpanan Bekalan Makanan (SSSBM) yang akan memastikan semua bekalan cukup untuk dihantar ke lebih 2,000 outlet FAMA di seluruh negara.

“Melalui skim ini juga, harga barangan dijual dengan lebih murah antara lima dan 20 peratus bagi memastikan pengguna dapat membeli barangan keperluan dengan harga rendah berbanding harga di pasaran,” ujarnya. -Kedahnews.com