WALAUPUN sudah berlakon beberapa drama yang lain, tetapi rezekinya lebih murah selepas melakonkan watak sebagai Aisy menerusi drama Titian Cinta.
Farah Nabilah Saipuddin atau lebih mesra disapa Fawa menganggap popularitinya melalui drama itu merupakan satu permulaan baharu di dalam hidupnya.
Pelakon kelahiran negeri Selangor itu juga tidak mahu namanya dikenali hanya kerana cerita gosip yang sekali gus membuatkan prestasi lakonanya jatuh.
“Ini satu perubahan pada diri saya. Sebelum ini, saya berlakon dalam beberapa drama antaranya Papa Ricky dan Inikah Cinta, tetapi rezeki saya adalah pada Titian Cinta.
“Sejujurnya, tak pernah terlintas dalam fikiran untuk mengejar populariti. Memanglah nak orang kenal kita. Tetapi biarlah dengan cara yang betul,” katanya dipetik daripada BH Online.
Tambahnya, rezeki berpihak kepadanya menerusi drama Titian Cinta kerana digandingkan dengan aktor hebat, Zul Ariffin dan ia membuatkan Fawa lebih bersungguh-sungguh untuk menjayakan watak Aisy yang kini jadi pujaan ramai.
Selain daripada berita kejayaan Fawa selepas drama Titian Cinta, Fawa juga telah membongkar rahsia beberapa pelakon lelaki kepada BH Online ketika sesi temu bual baru-baru ini.
Menurut gadis berusia 25 tahun itu, dia mengakui bahawa pernah beberapa ketika ada beberapa pelakon lelaki mendekatinya dan menawarkan diri untuk menjadi ‘kekasih olok-olok’ bagi mencetuskan kontroversi sekali gus menaikkan nama pelakon tersebut.
Namun, Fawa yang sememangnya menegaskan bahawa dia tidak mahu meraih populariti hanya dengan taktik kotor seperti itu. Jadi, dia terus menolak ‘lamaran cinta’ yang sering diterimanya dengan cara yang baik.
“Ada beberapa pelakon datang mahu mencetuskan kontroversi. Mereka mahu ‘menjalinkan’ hubungan dengan saya, nak buat gosip acah-acah bercinta.
“Nak tergelak pula rasanya, mujur hati saya kental. Mungkin saya bertahan kerana niat saya yang mahu berada dalam industri ini untuk mengembangkan bakat, jadi semuanya ditolak mentah-mentah,” katanya.
Bagus lah tindakan Fawa tu… Biarlah dia dikenali kerana bakat lakonan yang dimilikinya dan bukan hanya kerana kontroversi murahan yang sengaja dicetuskan.
Sebelum ini, Fawa sering melakonkan watak baik, dan kini semestinya dia mahu mencabar diri dan ingin mencuba watak antagonis supaya dia dapat memberikan kelainan dalam lakonannya.
Fawa yang juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Psikologi dari Universiti Upper Lowa Malaysia (UIU), dia turut akan cuba sehabis baik untuk menggunkana populariti yang diraih untuk dirinya tampil dengan pelbagai produk atau drama yang dapat menarik hati para peminat.
“Agak sukar untuk kita mengagak sejauh mana populariti seseorang artis itu dapat bertahan. Bagi saya, sementara dikenali, saya akan cuba memberi yang terbaik untuk mengekalkan momentum dengan memperbaiki diri.
“Selebihnya, biarlah laluan kerjaya seni mengikut arusnya sendiri. Saya ada matlamat sendiri, meraih sebuah trofi kerana bakat lakonan. Ya, perjalanannya masih jauh dan saya mahu terus berusaha untuk ke arah itu,” tambahnya.
Walaupun boleh dikatakan masih baharu dalam bidang seni, namun banyak perkara positif yang ditunjukkan oleh pelakon yang tak lekang dengan senyuman ini.
Kalau Fawa terus mengekalkan sifatnya yang seperti ini, tak mustahil kalau satu hari nanti dia akan dikenali kerana bakat besar yang dimilikinya dan bukan kerana gosip murah untuk meraih populariti semata. - Kedahnews.com