PEMAIN sayap lincah Kedah, Farhan Roslan bersedia untuk memainkan peranan sebagai ‘pengubah permainan’ jika diturunkan pada aksi final Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Stadium Shah Alam, malam ini.
Jelas pemain yang digelar ‘Messi Kedah’ itu, kelebihan larian deras pantas akan digunakan sebaik mungkin untuk membantu Helang Merah memastikan Piala Malaysia kekal di bumi Darul Aman buat tahun kedua berturut-turut.
Malah, pemain berusia 20 tahun itu mengakui, keyakinannya sudah kembali pada tahap sepatutnya apabila berjaya memperagakan persembahan terbaik pada perlawanan separuh akhir, selepas diketepikan selama tiga bulan, akibat kecederaan.
“Saya bersedia untuk membantu pasukan malam ini jika diturunkan, kerana saya percaya prestasi dan momentum yang ada ketika ini berada pada tahap terbaik.
“Kekuatan saya adalah mampu berlari laju dan sudah tentu saya bersedia memanfaatkan kelebihan itu untuk memberikan saingan sengit kepada benteng Johor DT, ” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Pusat Latihan Sime Darby FC, semalam.
Anak kelahiran Alor Setar itu turut menjelaskan, kejayaan Kedah mara ke empat perlawanan akhir - tiga Piala Malaysia dan satu Piala FA turut memberi dorongan kepada pemain muda sepertinya untuk bersaing merebut tempat.
“Pencapaian Kedah dalam beberapa tahun kebelakangan ini begitu baik, jadi ia memberi saya motivasi yang cukup besar untuk terus memberikan sumbangan kepada pasukan secara berterusan.
“Peluang pemain muda Kedah juga sentiasa terbuka, jadi kami turut merasai perlawanan kompetitif sama seperti pemain senior lain,” katanya.
Sumber: MyMetro