Final Piala Malaysia: Ifwat Cuba Sedaya Upaya Pastikan Kedah Tak Bolos


ALOR SETAR - Penjaga gawang gol muda pasukan Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim mahu memastikan gawang gol Lang Merah tidak dibolosi oleh Harimau Selatan sekaligus mempertahankan Piala Malaysia yang dimiliki.

Sekiranya terpilih dan diberi kepercayaan oleh Ketua Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff  untuk menggalas tugas berat tersebut pada perlawanan akhir yang dijadual Sabtu ini, Ifwat mahu memberi yang terbaik dan tidak mahu mengecewakan penyokong setia Hijau Kuning.

"Harapan mahu pertahankan gawang gol dari dibolosi, kalau boleh nak jadi yang terbaik pada malam tu,

"Menunjukkan aksi yang terbaik kepada penyokong." kata Ifwat ketika ditemui Kedahnews.

Menurutnya lagi, pasukan telah membuat persediaan yang secukupnya dan sentiasa fokus dalam latihan kerana tidak mahu tersungkur di tangan Johor Darul Takzim (JDT).

Jelasnya, apa yang paling penting sekali adalah sentiasa menjaga diri ketika berlatih kerana khuatir pemain-pemain bakal mengalami kecederaan.


Tambah Ifwat, dia tidak kisah siapa yang bakal dipilih oleh jurulatih untuk mengemudi barisan pertahanan Kedah, namun apa yang penting mereka harus menggalas tanggungjawab tersebut dengan sebaik mungkin.

Mengulas kembali mengenai perlawanan terakhir Kedah ketika Liga Super menentang JDT minggu lalu, Ifwat menyifatkan permainan kasar yang ditunjukkan JDT sebagai perkara biasa dalam perlawanan bolasepak.

"Itu saya rasa tidak, itu adat permainan dipanggil rovers, main bola ni kalau tak kasar tak dipanggil main bola" ujarnya.

Sementara itu, Ifwat turut menyifatkan pasukan Selangor dan JDT masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dan mengakui bahawa JDT mempunyai keistimewaan di mana  mempunyai pemain yang lebih berpengalaman.

Mengimbas kembali kemenangan Kedah dalam Piala Malaysia musim lalu menentang Selangor, Ifwat boleh dikatakan antara 'hero Kedah' apabila berjaya menyelamatkan penalti ketika perlawanan diheret hingga ke tambahan masa. - Kedahnews.com