Final Piala Malaysia: Polis Beri Amaran Jangan Bawa Bahan Terlarang


SHAH ALAM - Penyokong pasukan Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) diberi amaran untuk tidak membawa masuk bahan terlarang pada perlawanan akhir Piala Malaysia, di Stadium Shah Alam, malam esok.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, ia bagi memastikan kelancaran perlawanan akhir piala berprestij itu.

Katanya, selain bahan letupan dan senjata tajam, barangan lain yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium itu termasuk suar, batang besi atau kayu, pemetik api, payung dan botol air minuman.

Pada masa sama, sepanduk dan kain rentang berbaur hasutan, provokasi dan politik juga tidak dibenarkan, manakala hanya 10 gendang boleh digunakan sepanjang perlawanan itu.  

 Shafien berkata, pihaknya tidak mahu insiden seorang remaja lelaki yang ditahan kerana membaling mercun ketika perlawanan bola sepak Sukan SEA di stadium sama, Ogos lalu, berulang. 

"Justeru, kita akan menempatkan lebih 1,500 pegawai dan anggota polis termasuk pasukan khas,  Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Berkuda untuk mengawal keselamatan secara menyeluruh di kawasan stadium itu.

"Pemeriksaan dan tapisan rapi akan turut dijalankan di setiap pintu masuk bagi mengelak penyokong membawa bahan terlarang. Tindakan tegas akan diambil jika mereka didapati melakukan kesalahan itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat akhir keselamatan final antara Kedah dan JDT itu di pejabatnya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pertandingan itu yang juga Ketua Pegawai Operasi Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Mohd Shazli Shaik Mohd dan Ketua Pegawai Operasi TicketHotline, Datuk Zairil Ayu Ibrahim.

Shafien berkata, polis dan FMLLP turut akan memantau kegiatan 'ulat' yang menjual tiket palsu dengan menempatkan individu di sekitar stadium.  

Selain itu, beliau berkata, kira-kira 75,000 penyokong kedua-dua pasukan akan membanjiri lokasi berkenaan dan pintu stadium akan mula dibuka pada jam 4 petang Sabtu ini. 

"Bagi penyokong JDT, mereka perlu memasuki pintu A dan B, manakala pintu C dan D untuk penyokong Kedah.

"Kami juga mengharapkan kerjasama semua penyokong supaya berhemah dan tidak menimbulkan keadaan huru hara," katanya. 

Sementara itu, Zairil berkata, pihaknya setakat ini belum mengesan kes tiket palsu berikutan tiket asal yang dijual mempunyai ciri keselamatan khas seperti hologram dan imbasan sinar UV.

Sumber: BH Online