Final Piala Malaysia: UK09 Rancang "Booo" Pihak Tertentu, Bukan Ahmad Bashah?


ALOR SETAR - Di sebalik dakwaan kononnya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah cuba menyekat kehadiran kelab peminat pasukan bola sepak Kedah, Ultras Kedah 2009 (UK-09) untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2017, terdapat desas-desus yang agak menarik.

Menurut sumber, UK-09 kali ini dikatakan akan "booo.." pihak tertentu dan tidak akan mengenakan Ahmad Bashah seperti yang dilakukan mereka ketika Menteri Besar itu baru dilantik sebagai Menteri Besar sebelum ini.

Tidak dapat dipastikan pihak mana yang bakal di"booo" oleh UK-09 pada aksi perlawanan akhir Piala Malaysia di Shah Alam nanti dan desas-desus tersebut mencetus tanda tanya di kalangan media tempatan di sini.

Namun begitu, pihak yang akan di"booo" UK-09 bakal terjawab pada 4 November ini.

Pagi ini, Setiausaha Kehormat KFA, Dato' Aminuddin Omar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan Menteri Besar Kedah cuba menyekat UK09 memeriahkan Stadium Shah Alam pada 4 November ini.

Tegas beliau, dakwaan berbaur fitnah itu berkemungkinan adalah perbuatan pihak tertentu yang cuba mempolitikkan sukan bola sepak di negeri ini.

Sebelum ini, UK-09 dikatakan terpengaruh dengan strategi politik bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang membawa sentimen politik masuk ke dalam stadium Darul Aman dikatakan telah mencetus rasa benci kelab peminat itu terhadap Ahmad Bashah.


Turut difahamkan bahawa setelah berjaya mempengaruhi segelintir peminat skuad Hijau Kuning dalam satu perlawanan persahabatan di stadium tersebut, Ahmad Bashah menjadi sasaran "booo" oleh pihak yang terpengaruh itu.

Akhlak Mukhriz yang menghina Ahmad Bashah dengan ejekan "Mat Lena" juga menjadi ikutan anak-anak muda yang terpengaruh dengan bekas Menteri Besar yang dikatakan kecewa kehilangan jawatan lantikan politik tersebut.

Terbaru, Mukhriz yang seakan "berdendam" terhadap Ahmad Bashah cuba "tumpang sekaki" menjadi "batu api" apabila mengesyaki kononnya tiket bola sepak final Piala Malaysia kali ini sengaja disorok pihak tertentu.

Mempolitikkan isu tiket bola sepak itu, Mukhriz yang cuba "menangguk di air yang keruh", turut menuduh UMNO Negeri Kedah kononnya memperuntukkan sejumlah tiket terhadap ahli dan penyokong mereka.

"Dan daripada maklumat yang saya dapat Pemuda UMNO Kedah sendiri yang dok bedak (edar) tiket," katanya menuduh tanpa memberikan sumber maklumat atau bukti atas dakwaan tersebut. - Kedahnews.com