'Gadis Belon Kuning' Didapati Tidak Hina PM


MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur, hari ini, melepas dan membebaskan pengarah tari.

Dia dibebaskan daripada pertuduhan berkelakuan menghina dengan melepaskan belon pada majlis yang dihadiri perdana menteri dan isteri, dua tahun lalu.

Majistret Mohd Faizal Ismail memutuskan demikian terhadap Bilqis Hijjas, 37, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam keputusannya, Mohd Faizal berkata, keterangan Bilqis selaku Orang Kena Saman (OKS) adalah konsisten termasuk mengikut segala arahan pihak keselamatan selari dengan bukti daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Keterangan saksi pendakwaan yang menyatakan mereka akan marah dengan perbuatan OKS adalah satu andaian semata-mata.

“Sementara itu, keterangan OKS bahawa dia meniup dan melontar belon untuk menarik perhatian perdana menteri mengenai prinsip perlembagaan tidak dicabar,” katanya.

Pada 23 September 2015, Bilqis didakwa membaling berapa belon kuning dari aras 5, pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang, pada 3.15 petang, 31 Ogos 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz manakala Bilqis diwakili peguam Latheefa Koya.

Pihak pendakwaan memanggil lapan saksi manakala pembelaan memanggil seorang saksi iaitu OKS untuk memberi keterangan.

Pada 1 Julai 2016, Mahkamah Majistret membebaskan Bilqis tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi, 3 Oktober lalu, perintah OKS membela diri selepas berpendapat Mahkamah Majistret telah terkhilaf dalam membuat keputusan itu.

Sumber: Sinar Harian