Gaji Lebih RM3,141 Baru Kena Cukai


KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan mengurangkan dua peratus kadar cukai pendapatan individu dalam Bajet 2018 membuatkan hanya golongan berpendapatan bulanan lebih RM3,141 membuat potongan cukai berjadual (PCB) mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, ini berbeza berbanding sebelumnya apabila individu berpendapatan bulanan RM2,851 dikenakan PCB.

Katanya, implikasi sama berlaku kepada pembayar cukai yang berkahwin dan mempu­nyai tiga anak dengan pendapatan boleh cukai yang sebelum ini bermula RM4,351 tetapi telah ditingkatkan kepada RM4,496.

“Kita sedar perkara ini akan menyebabkan negara kehila­ngan RM1.23 bilion (kutipan cukai) tetapi lebihan perbelanjaan rakyat ini akan dibelanjakan semula dalam sistem ekonomi.

“Hal ini sekali gus melonjakkan aktiviti ekonomi dari semasa ke semasa,” katanya menggulung Rang Undang-undang Kewangan 2017 di Dewan Rakyat, semalam.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan lagi kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) daripada kadar enam peratus pada masa ini.

Menurutnya, mungkin ada pihak membuat kajian mengenai keperluan tersebut atas beberapa alasan tertentu.

“Kononnya ada laporan daripada Bank Dunia mencadangkan kerajaan perlu menaikkan kadar cukai itu sehingga tujuh peratus. Tetapi saya mahu menegaskan, kerajaan tidak bercadang menaikkan GST walaupun selepas pilihan raya umum,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) yang meminta pengesahan mengenai Bank Dunia ada mencadangkan Malaysia menaikkan GST kepada tujuh peratus.

Sumber: Utusan Online