KUALA LUMPUR — Pengusaha sebuah restoran didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini kerana menggaji pekerja tiada suntikan vaksin, tahun lalu.
Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu selepas Restoran Al Jasra yang diwakili pengurus syarikat itu selaku Orang Kena Saman, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan itu.
Pengusaha restoran itu didakwa tidak mematuhi Peraturan 11(1)(b) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu menggaji atau membenarkan pengendali makanan mengendali makanan tanpa suntikan dan kursus di restoran itu di Ampang, di sini pada 11.50 pagi, 23 Mac 2016.
Pertuduhan mengikut Peraturan 11(2) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan boleh dihukum di bawah peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Ketika rayuan pengurus syarikat itu yang berumur 30 tahun dan tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum dengan alasan pihaknya menyesali kesalahan mengabaikan aspek kesihatan dan telah mengambil tindakan sewajarnya untuk memberikan suntikan kepada pekerjanya.
Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Kesihatan Selangor Mahfuz Mohamad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran kepada restoran itu dan restoran lain di negara ini untuk memastikan semua pengendali makanan mendapatkan suntikan vaksin. – Bernama