'Gaji Penjawat Awam Kekal Sekali Sebulan'


PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan gaji penjawat awam akan dibayar dua kali sebulan, seperti laporan sebuah portal berita baru-baru ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman, berkata pelaksanaan pembayaran gaji dua kali sebulan yang dilaporkan portal terbabit adalah di Brunei, bukan negara ini.

"Saya tidak pernah dengar mengenai (pelaksanaan) gaji dua kali sebulan ini. Jangan dengar khabar angin.

"Setakat ini, kita kekal pembayaran gaji sekali sebulan," katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Bulan Bahasa Kebangsaan Sektor Perkhidmatan Awam 2017 di sini, hari ini,

Dua hari lalu, sebuah portal berita mendakwa mendapat maklumat penjawat awam negara ini akan menerima gaji dua kali sebulan iaitu pada pertengahan dan akhir bulan.

Portal itu mendakwa, langkah berkenaan dikatakan bertujuan membantu penjawat awam menguruskan perbelanjaan harian dan kaedah berkenaan tidak membabitkan pesara kerajaan.

Sumber: BH Online