Gangguan Bekalan Air Sekitar Merbok


ALOR SETAR - Sada dalam satu kenyataannya memaklumkan bahawa berlakunya gangguan bekalan air di sebahagian Daerah Kuala Muda.

Pegawai Perhubungan Awam Sada, Rofedi Sulaiman berkata, gangguan tersebut disebabkan oleh loji "headwork" Tupah tidak dapat beroperasi akibat kerosakan di bahagian muka sauk ekoran hujan lebat awal pagi kelmarin.

Menurutnya, muka sauk loji tertimbus dengan longgokan pasir, batu dan kayu besar yang dibawa bersama arus deras dari Gunung Jerai.

"Kejadian menyebabkan beberapa peralatan rosak dan kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan di mana menjejaskan akaun pengguna yang terlibat sebanyak 5, 000 pengguna.

"Bagaimanapun, bekalan dijangka pulih pada esok,6 November jam 6 petang. Sepanjang waktu ini, pengguna akan di bekalkan dengan bekalan air yang dihantar menggunakan lori," katanya.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pusat Aduan Sada di talian 1 300 88 0017.

Antara kawasan terlibat ialah Taman Universiti, Singkir, Tanjung Dawai, Taman Kurnia Jaya Bedong, Taman Lembah Merbok, Maktab Rendah Sains Mara, Kampung Batu Hampar, Kampung Bendang Dalam, Kampung Jilid 1 hingga 9, Kampung Bukit Air Nasi dan Taman Malinja serta kawasan sekitar.

Sada memohon maaf atas gangguan ini dan diharapkan pengguna bersabar. - Kedahnews.com