Ginney Minta Penyokong Tunggu KFA Umum, Berita Lain Tidak Sah


ALOR SETAR - Para penyokong bola sepak Kedah diingatkan bahawa sebarang bentuk laporan berita yang bukan membabitkan kenyataan sah daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) adalah tidak sah untuk diperakui kebenarannya.

Pengarah ECK Group Sdn Bhd, Puan Sri Ginney Chew yang juga merupakan pemilik syarikat penaja utama skuad Lang Merah berkata, semua penyokong Lang Merah perlu bersabar dan menunggu pengumuman yang sah dari KFA.

"Tolong tunggu KFA umum, berita lain daripada KFA keluarkan adalah tidak sah. Thank you. SABAR..," tegas beliau di laman page Facebook rasminya, hari ini.


Beliau dipercayai mengulas mengenai dakwaan sebuah akhbar yang mendakwa bekas Ketua Jurulatih Johor Darul Takzim, Mario Gomez yang dikatakan kini hampir mengikat kontrak mengemudi skuad Lang Merah pada musim depan.

Sebelum itu, Ginney memulakan kempen mengumpul 25,000 like di Facebook untuk membawa bekas Penolong Ketua Jurulatih Kedah, Ramon Marcote (Marco), yang dilihat lebih sesuai menggantikan Nidzam Adzha Yusoff sebagai Ketua Jurulatih skuad Kedah.

Beliau kemudian hanya memerlukan tidak sampai dua hari untuk mencapai 25,000 like bagi posting tersebut, kira-kira 5% dari jumlah like penyokong di laman page Facebook rasmi KFA yang kini mencecah lebih 500,000 like.

Sebelum itu, Ginney turut mengecam keras pihak yang menghina Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, dengan sorakan 'boo', pada perlawanan final Piala Malaysia 2017 menentang JDT di Shah Alam, baru-baru ini.

Beliau menyifatkan pihak yang berbuat tindakan tersebut sebagai biadap dan amat memalukan negeri Kedah, termasuk skuad Lang Merah yang beraksi menentang pasukan Harimau Selatan pada malam tersebut.

Sementara itu, Kedahnews.com telah cuba menghubungi Marco yang kini difahamkan sedang berada di Madrid, Sepanyol, untuk mendapatkan maklum balas darinya, namun beliau belum memberikan sebarang jawapan sehingga laporan ini disiarkan.

Undian lebih 1,000 penyokong tegar Lang Merah di laman page Kedahnews.com baru-baru ini menunjukkan Marco menjadi pilihan utama majoriti dengan 86 peratus undian berbanding Gomez yang hanya mencatat 14 peratus undi. - Kedahnews.com