GEORGETOWN – Penang Front Party (PFP) mendesak Ketua Menteri, Lim Guan Eng membuat permohonan maaf kepada seluruh rakyat di negeri ini termasuk kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh dan banjir kilat, baru-baru ini.
Pengerusinya, Datuk Patrick Ooi berkata, permohonan maaf itu perlu dilakukan kerana apa yang terjadi kepada rakyat di negeri ini adalah disebabkan kesilapan daripada kerajaan negeri.
“Kita minta Lim Guan Eng keluar minta maaf kepada semua rakyat Pulau Pinang. Dia kena minta maaf sebab setakat ini sudah ada 22 kematian dicatatkan akibat tanah runtuh dan banjir.
“Takkan dia nak tunggu sampai 100 orang mati? Saya minta semua rakyat Pulau Pinang bersama saya, tak kira parti apa sekalipun termasuk DAP untuk selamatkan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir di pekarangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang, di sini, semalam.
Menurutnya, kerajaan negeri juga harus menghentikan segala pembinaan di atas dan lereng bukit dengan segera kerana ia dikhuatiri akan membawa bahaya dan lebih banyak masalah kepada rakyat.
“Kelantan dan Kedah banjir, tetapi mana ada kematian. Kita minta dia dengan segera hentikan semua projek di atas dan lereng-lereng bukit.
“Ini yang kita nampak misalnya di Bukit Bendera, merah. Georgetown kalau banjir airnya warna teh tarik kerana disebabkan kerosakan bukit,” katanya.
Jelasnya, tinjauan di sekitar Seberang Perai pula mendapati wujud masalah pembinaan yang tidak menyediakan saliran yang betul.
“Contohnya di Juru, mereka nak bina asrama pekerja asing. Di tempat itu sepatutnya dibina kolam tadahan air, tetapi mereka tambak kawasan itu untuk buat asrama pekerja asing.
“Itu yang menyebabkan banjir kilat, bukan banjir biasa,” katanya.
Sumber: Sinar Online