Guna Telefon Bimbit: 149 Saman Sehari, Enam Saman Setiap Jam


KUALA LUMPUR – Kira-kira 149 saman menggunakan telefon bimbit ketika memandu dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara purata setiap hari sejak awal tahun ini sehingga Jumaat la­lu.

Jumlah saman harian itu jika di­bahagikan bersamaan dengan enam saman setiap jam dan ia bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan pengguna jalan raya di negara ini.

Angka tersebut juga dilihat meningkat berbanding 126 saman purata harian atau 46,262 saman keseluruhan yang direkodkan sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor (gambar) berkata, sehingga Ju­maat lalu sebanyak 44,208 saman dikeluarkan bagi kesalahan LN166/59 017A atau menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

“Dalam tempoh itu, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 14,186 saman manakala Pulau Pinang kedua tertinggi iaitu sebanyak 6,767 saman,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, berdasarkan statistik terbaharu PDRM, sepanjang tempoh 1 hingga 27 Oktober lalu menunjukkan sebanyak 4,250 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya di seluruh negara dan dikhuatiri jumlah tersebut akan terus meningkat sehingga hujung tahun ini.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan apa jua kesalahan yang melanggar undang-undang jalan raya kerana kesannya bukan hanya pada pelaku itu sendiri, malah boleh membabitkan nyawa orang lain.

“Mungkin kesalahan seperti menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu kereta dan menunggang motosikal nampak kecil pada mereka, tetapi impaknya terhadap mereka dan orang lain sangat besar,” katanya.

Sumber: Utusan Online