Guna Telefon Bimbit Semasa Memandu Diakui Punca Kemalangan


PUTRAJAYA - Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati kebanyakan pemandu di negara ini mengakui bahawa penggunaan telefon bimbit ketika memandu merupakan faktor penyumbang kepada kemalangan jalan raya, kata Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata, majoriti rakyat Malaysia juga bersetuju penggunaan telefon bimbit ketika memandu boleh mempengaruhi tingkah laku pemanduan serta membahayakan diri mereka dan orang lain, namun mereka masih berbuat demikian.

Katanya, Miros melakukan kajian rawak pada tahun lalu terhadap 300 responden di Lembah Klang yang mendapati 43.4 peratus pengguna jalan raya menggunakan telefon bimbit ketika memandu kereta dan membonceng motosikal manakala 61.7 peratus pemandu menerima atau membuat panggilan telefon ketika memandu sekurang-kurangnya satu hingga tiga kali seminggu.

Selain itu, kajian itu juga mendedahkan 53.6 peratus pemandu menggunakan telefon bimbit ketika terperangkap di dalam kesesakan jalan raya; 53 peratus pemandu menaip teks ketika memandu sekurang-kurangnya satu hingga tiga kali seminggu dan 61.7 peratus pemandu menerima atau membuat panggilan telefon ketika memandu sekurang-kurangnya satu hingga tiga kali seminggu.

Lam Thye berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Road Safety Run 2017, anjuran Miros dan Uber bersempena ulang tahun ke-10 penubuhan MIROS di sini hari ini. - Bernama