Hasrat Lang Merah Beraksi Di Pentas Piala AFC Hancur Berkecai


Hasrat Kedah selaku juara Piala FA 2017 untuk beraksi di pentas Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 berkecai.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan Kedah yang muncul naib juara Piala Malaysia musim ini tidak boleh menyertai  saingan Piala AFC) kerana Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) gagal melepasi syarat pelesenan dalam tempoh masa yang ditetapkan AFC.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd. Amin, dalam kenyataan bersama Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) berkata, keputusan tersebut dibuat selepas KFA gagal mengemukakan penyata kewangan beraudit.

Penyata kewangan berkenaan merupakan kriteria wajib untuk dimuat naik ke dalam Sistem Pentadbiran Pelesenan Kelab AFC (CLAS) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM untuk diteliti.

“Sudah jelas dan nyata hanya kelab-kelab yang memenuhi kriteria ditetapkan dalam peraturan mengikut tarikh akhir yang telah ditentukan oleh FAM akan diberikan lesen (AFC dan kebangsaan).

“Sehingga tarikh berkenaan, Kedah tidak menghantar penyata kewangan beraudit mereka yang merupakan kriteria wajib. Ini bermakna, dengan tarikh akhir ditetapkan sistem CLAS dan tarikh FIB bersidang sudah dilewati, tiada pasukan dibenarkan untuk memuat naik apa juga dokumen tambahan,” jelas Hamidin.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keputusan untuk tidak memberikan lesen AFC kepada KFA adalah mengikut peraturan yang ditetapkan AFC, sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak kononnya Kedah tidak diberikan layanan yang adil oleh FAM.

“Andai Kedah diberikan Lesen AFC dan dicalonkan untuk ke Piala AFC, kemungkinan audit daripada pihak AFC bakal mendapati yang lesen telah diberi secara salah dan FAM akan dikenakan hukuman.

“FAM dan FMLLP sama-sama berharap tiada sebarang teori konspirasi atau khabar angin mengatakan yang Kedah tidak diberi layanan yang adil. Kami sendiri cukup berharap yang Kedah akan dapat mengambil bahagian dan berjaya,” katanya.

Beliau menjelaskan FAM dan FMLLP secara kolektifnya bertanggungjawab menguruskan sistem pelesenan kelab di Malaysia dengan FAM berperanan sebagai pihak yang memberikan lesen kelab sementara FMLLP pula bertindak sebagai pihak pentadbir pelesenan kelab.

Pahang dilaporkan merupakan calon terbaik untuk menggantikan Kedah dalam saingan Piala AFC musim depan berdasarkan kejayaan mereka menduduki tempat kedua dalam saingan Liga Super pada musim ini.

Sebelum ini Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata, KFA telah mematuhi syarat yang diperlu dan ditetapkan tetapi FAM hanya memberi lesen untuk menyertai Liga Super Malaysia musim depan. - Kedahnews.com