AMPANG - Walaupun sibuk, bintang legenda Indonesia, Hetty Koes Endang, sempat meluangkan masa hampir sejam menziarahi Datuk Seri Siti Nurhaliza yang kini hamil lima bulan.
Dalam pertemuan berkenaan, selain berkongsi pengalaman dan menitipkan pesanan berguna buat penyanyi yang bakal bergelar ibu itu, Hetty, 60, turut menghadiahkan Siti buah limau yang begitu diidamkan olehnya.
"Puas saya berfikir, apakah buah tangan sesuai untuk diberikan pada Siti yang mungkin sudah melewati masa mengidamnya. Tiba-tiba, timbul idea untuk memberikannya limau manis. Mungkin hadiahnya tidak mahal, tetapi itulah tanda kasih sayang saya padanya.
"Apabila kami berbual di telefon, tiba-tiba Siti memberitahu dia teringin hendak makan buah limau, tetapi yang manis. Kebetulan bukan? Jadi, saya pun bawalah limau manis ke sini," kata penyanyi lagu Berdiri Bulu Romaku ini kepada BH Online.
Sebaik saja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar tengah hari tadi, penyanyi berkenaan terus menuju ke kediaman Siti di Bukit Antarabangsa, di sini.
Dalam kunjungan berkenaan, Hetty turut ditemani pengurus yang juga anak sulungnya, Ameer Mahmed.
Kata Hetty, sejak mendapat tahu Siti kini berbadan dua, perasaannya membuak-buak untuk bertemu dengan penyanyi yang pernah mengadakan konsert dengannya di Istana Budaya, dua tahun lalu.
"Apabila mendapat tahu Siti hamil, saya berkata pada diri sendiri, saya mesti melawatnya. Tak kiralah sama ada dia terima atau tidak, saya tetap akan berjumpa dengannya.
"Selain itu, (lawatan) ini juga sebagai memenuhi permintaan suami yang mahu saya melawat Siti. Kata suami, sebagai kawan dan kebetulan saban minggu saya berada di KL atas sebab tugas, saya kena cari masa untuk ziarah Siti," katanya sambil ketawa.
Sementara itu, Siti turut melahirkan rasa terharu atas kesudian Hetty berkunjung ke kediamannya sambil menyifatkan wanita berhati mulia itu seperti seorang ibu, kakak, teman seperjuangan dan mentor buat dirinya.
Sumber: BH Online