Hina Keturunan Bugis: Sultan Selangor Murka, Dewan Diraja Mahu Satu Siasatan


Dewan Diraja Selangor mahu satu siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan atau apa jua undang-undang berkaitan wajar diambil ke atas Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr MahathirMohamad yang dikatakan menghina keturunan Bugis.

Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Hanafisah Jais dalam satu kenyataan berkata Sultan Selangor telah berbincang dengan Dewan Diraja Selangor mengenai hal itu semalam.

“Berdasarkan rakaman klip video ucapan berkenaan yang telah tular di media sosial, tohmahan dan kenyataan Mahathir itu jelas menghina dan menggolongkan bangsa Bugis ini kononnya berasal usul dari golongan lanun, perompak dan penjenayah.

“Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor menganggap ucapan berkenaan amatlah keterlaluan dan boleh mencetuskan rasa benci dan prasangka buruk rakyat terhadap bangsa Bugis sehingga boleh mencetuskan kekecohan dan huru-hara.

“Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasihah dan keturunan Kesulatan Selangor yang berasal dari Bugis.

“Fakta sejarah membuktikan Kesultanan Selangor beketurunan Bugis adalah pahlawan yang memperjuangkan dan mempertahankan keamanan di seluruh kepulauan Nusantara.

“Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri yang menerajui negara ini selama 22 tahun seharusnya lebih berhati-hati dan mengetahui fakta tentang sejarah keturunan Bugis.

“Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor menjunjung segala titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkaitan dengan isu ini dan berpandangan agar satu siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan atau apa jua undang-undang berkaitan wajar diambil ke atas Mahathir,”katanya.

Kenyataan itu juga mengingatkan semua pihak terutama orang politik supaya tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik.

Dr Mahathir telah menyentuh soal orang Bugis semasa ucapan beliau di himpunan berkenaan.

Ketika mengulas kemarahan masyarakat Bugis di negara ini dan Indonesia terhadap kenyataanya,Dr Mahathir dakwa beliau bukan menghina keseluruhan keturunan Bugis.

“Saya tak hina orang Bugis, orang Bugis ada yang baik, tapi penyangak pun ada juga... kata Dr. Mahathir.

Sumber: Agendadaily