'Home Manager'... Nama Baru Untuk Amah


SIAPA sangka imej pembantu rumah profesional yang memakai seragam, mempunyai perwatakan menarik dan bekerja dengan sistematik seperti yang sering ditampilkan dalam telenovela luar negara sebenarnya wujud di Terengganu.

Pekerjaan ini diiktiraf sebagai ‘Home Manager’ (pengurus kediaman) bagi memartabatkan imej wanita yang menyertai sektor ini.

Tidak dinafikan mereka mempunyai kecekapan dalam pelbagai urusan rumah tangga ekoran diberi latihan secukupnya dari semasa ke semasa.

Lebih istimewa mereka tidak perlu bermalam di rumah majikan seperti kebiasaan rutin pembantu rumah konvensional dan hanya bekerja mengikut waktu pejabat sahaja atau waktu sesuai selepas berunding dengan majikan.

Program khas hasil idea Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman itu mula diperkenalkan sejak tiga tahun lalu dan mendapat sambutan luar biasa di seluruh negeri ini malah menjadi inspirasi kepada negeri lain.

‘Home Manager’ ini akan menerima gaji RM1,000 sebulan dan dilindungi insurans serta mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) malah bagi mempromosi program ini, kerajaan negeri turut membantu majikan dengan memberi subsidi RM200 sebulan pada tiga bulan pertama.

Antara majikan bertuah yang menyertai program tersebut ialah Ahmad Huzairi Ali, 36, dan isterinya Majdah Yusof, 34, dari Manir, Kuala Terengganu.

Mengimbas semula kenangan tiga tahun lalu, Ahmad Huzairi berkata beliau pernah mengalami masalah kerana mendapat pembantu rumah yang tidak serasi bekerja dalam tempoh yang lama terutama dalam hal penjagaan anak sulungnya yang berusia tujuh tahun dan menghidap Cerebral Palsy.

Beliau pernah menggunakan khidmat beberapa pembantu rumah tempatan sebelum ini, namun kebanyakannya tidak kekal lama dan berhenti dalam masa yang singkat sahaja kerana masalah peribadi.

Ahmad Huzairi akhirnya nekad mahu mengambil pembantu rumah warga Indonesia dan bersedia mengeluarkan wang RM18,000 untuk tujuan itu.

“Namun, selang beberapa hari kemudian, saya terbaca mengenai satu program yang baru diperkenalkan oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) iaitu pengurus kediaman.

“Program itu bertujuan membantu majikan mendapatkan khidmat pembantu rumah yang terlatih dan profesional iaitu produk YPKT,” katanya.

“Saya sangat bersyukur apabila calon yang disaran YPKT iaitu Nur Farhani Alias bersetuju untuk bekerja dengan saya dan menjaga dua anak saya terutama anak istimewa saya, Ahmad Thaqif Amzar,” katanya.- Bernama