KUALA LUMPUR - Hospital Medan Malaysia yang bakal dibuka di Cox’s Bazar, Bangladesh, khusus membantu pelarian etnik Rohingya dijangka beroperasi selewat-lewatnya 1 Disember depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kemudahan berkenaan bakal menyediakan bantuan perubatan dilengkapi bilik bedah, X-ray, unit rawatan rapi (ICU), bilik kecemasan dan bilik bersalin.
“Dengan kapasiti maksimum 100 katil, ia akan dibangunkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum diambil alih Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Lokasi sebenar hospital ini akan diumumkan selepas pasukan peninjau berlepas pada 7 November ini,” katanya pada sidang media sejurus melancarkan misi membina dan mengendalikan Hospital Medan di Hospital Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin di Wangsa Maju, tengah hari semalam.
Najib berkata, usaha berkenaan adalah inisiatif bersama dan menjadi manifestasi kepada kesungguhan kerajaan dan rakyat dalam menyuarakan bantahan terhadap penindasan etnik Rohingya di Myanmar.
Jelas beliau, hospital berkenaan bakal beroperasi selama tiga bulan membabitkan 139 kakitangan KKM dan sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) dengan pelbagai kepakaran.
“Bagi memastikan kelancaran operasi sebenar Hospital Medan ini di Cox’s Bazar, ATM melaksanakan latihan ‘Dry-Run’ pada 31 Oktober hingga 1 November depan membabitkan semua kakitangan.
“Kumpulan perancang akhir membabitkan pegawai ATM dan KKM akan ke Cox’s Bazar pada 7 hingga 13 November ini bagi memilih lokasi sebenar dan membuat persediaan logistik akhir sebelum atur gerak sebenar dilakukan,” katanya.
Hadir sama dalam majlis berkenaan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affendi Raja Mohamed Nor dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdulah.
Sumber: MyMetro