Hospital P.Pinang Dilanda Banjir, 108 Pesakit Dipindahkan


GEORGETOWN - Seramai 108 pesakit, termasuk empat bayi yang baru lahir di Hospital Pulau Pinang (HPP) dipindahkan ke wad lebih selamat selepas wad yang menempatkan mereka dinaiki air, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Sukumar Mahesan, berkata hujan lebat sejak petang semalam terlebih dulu menyebabkan beberapa kawasan berhampiran hospital berkenaan dilanda banjir.


Katanya, antara kawasan yang dinaiki air adalah Unit Pengangkutan, tingkat bawah Blok C dan Blok D serta empat wad pesakit termasuk Wad Rawatan Rapi Neonatal.

"Berikutan itu, pesakit termasuk bayi dipindahkan antara jam 2.30 pagi hingga 5.30 pagi tadi. Tiada kejadian tidak diingini berlaku dan semua pesakit mendapat rawatan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Sukumar berkata, perkhidmatan rawatan pesakit luar dan ambulans juga diteruskan seperti biasa.

"Kita minta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat kurang tepat berkaitan kejadian ini sehingga mencetuskan suasana panik kepada waris pesakit," katanya.

Hampir 2,000 penduduk di seluruh negeri ini terjejas berikutan kediaman mereka ditenggelami air dalam kejadian banjir yang melanda sejak petang semalam.

Sumber: BH Online