BAGAN DATUK – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pihak sekolah dan ibu bapa agar tidak menyorok kejadian buli yang terjadi terhadap pelajar dan anak-anak mereka.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, pihak sekolah dan ibu bapa tidak seharusnya mementingkan nama baik sehingga enggan melaporkan kejadian jenayah terbabit kepada pihak berkuasa.
“Perkara sebegini (buli) sepatutnya perlu dilaporkan terus kepada pihak polis agar siasatan dan tindakan undang-undang dapat diambil serta nasihat kaunseling dapat diberikan,” kata beliau.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Keselamatan Kanak-Kanak 2017 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Datuk Mohamed Jumrah, Sungai Sumun di sini semalam.
Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 2,322 kes buli telah dilaporkan sejak 2012 hingga Jun lalu.
Malahan jelas beliau, kanak-kanak seawal usia tujuh tahun turut dikesan telah terlibat dalam kes buli.
“Ini adalah jumlah kes yang dilaporkan. Bagaimana pula kejadian buli yang tidak dilaporkan kepada pihak polis?” katanya sambil menegaskan tiada gunanya menjadi negara maju jika jenayah termasuk buli berleluasa.
Sumber: Utusan Online