Ifa Dedah Rahsia Susut 12 Kilogram


KUALA LUMPUR - Artis serba boleh, Ifa Raziah, menyangkal tanggapan sesetengah pihak kononnya beliau menjalani pembedahan untuk tampil lebih kurus.

Penyanyi yang turut dikenali sebagai pelakon dan pengacara itu berkata, beliau sebenarnya mengamalkan sejenis diet yang membantunya mengurangkan berat badan sebanyak 12 kilogram (kg) sejak dua bulan lalu.

"Saya memang mahu mendapatkan badan yang lebih langsing kerana selalu dikecam apabila mempunyai bentuk badan agak berisi. Malah, tidak saya nafikan, tawaran kerja seni untuk saya juga kurang apabila bertubuh gempal.

"Jika betul saya melakukan pembedahan seperti dianggap sesetengah orang, barangkali saya sudah terlantar di hospital ketika ini. Hakikatnya, saya memang mengamalkan diet berasaskan apa saja air yang tidak bergula.

"Saya juga menolak untuk mengambil makanan. Kalau nak makan sekalipun, hanya sup atau apa saja masakan berasaskan haiwan laut, terutamanya ketam," katanya kepada BH Online.

Pemenang trofi Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH 29 dan 3.0 itu berkata demikian ketika mengulas dakwaan sesetengah peminat kononnya beliau melakukan pembedahan untuk kelihatan lebih cantik.

Sejak akhir-akhir ini, Ifa bukan sekadar tampil lebih langsing, apabila berat badannya menyusut daripada 71 kg kepada 59 kg, malah kulitnya juga seperti lebih gebu dan menarik.

Dedah Ifa, jika dirinya berasa sangat lapar, beliau juga akan memakan telur rebus sehingga 10 biji sehari.

"Sepuluh biji telur rebus itu saya agihkan untuk makanan waktu pagi, tengah hari dan malam. Ketika saya mula-mula amalkan diet ini, tidak dinafikan memang otak kurang fokus. Saya tidak boleh berfikir dengan betul sebab tak makan.

"Lama kelamaan, ia jadi biasa. Sampai sekarang, tengok makanan pun saya naik takut," katanya yang turut mengamalkan meminum 3 liter air putih sehari.

Kata artis yang terkenal dengan tagline Puk Puk Puk itu, beliau bagaimanapun tidak menggalakkan sesiapa yang lemah semangat untuk mencuba diet terbabit.

"Memang hati kena kental kalau nak cuba diet sebegini. Mental dan fizikal kena seiring. Orang hati kering saja barangkali boleh amalkan diet ini. Alhamdulillah, saya masih boleh bertahan dan akan menyambung amalan diet terbabit selama empat bulan lagi.

"Saya sendiri tidak menyangka diet ini membuahkan hasil. Bayangkan, selama ini saya menari zumba dan makan makanan sihat, namun tetap tak menjadi. Malah, saya juga pernah menyuntik hormon, tetapi tetap tidak berhasil," katanya.

Mengenai wajahnya yang kelihatan lebih segar, Ifa berkata, beliau hanya mengamalkan produk keluaran sendiri, Diva's Secret.

"Saya memang tidak membuat suntikan sana-sini. Cuma, saya sempat menjalani rawatan wajah dipanggil Platelet Rich Plasma (PRP), sebelum ini," katanya.

Sumber:BH Online