Imam Sambut Baik Usaha Kerajaan Kedah Perkasa Institusi Masjid


ALOR SETAR - Pegawai-pegawai masjid di negeri Kedah menyambut baik usaha kerajaan negeri untuk memperkasakan institusi masjid dengan menyediakan peruntukkan lebih RM40 juta dalam Bajet 2018.

Peruntunkan  itu termasuk menambah elaun iman, siak dan bilal selain bercadang menyediakan pusat latihan kepada iman dan membantu ekonomi anak kariah masjid.

Bagi Imam Masjid Jamek Tuan Guru Abdul Aziz Pendang, Said Ismail, 61, berita itu adalah perkhabaran gembira kepada penggerak ins­titusi tersebut terutama ahli jawatankuasa masjid.

“Insentif yang diumumkan Menteri Besar merupakan motivasi kepada kami untuk melaksanakan tanggungjawab kepada anak kariah dengan lebih berkesan,” katanya.

Menurutnya,ganjaran tersebut turut memartabatkan masjid sebagai institusi yang tidak hanya digunakan untuk beribadah malah berperanan penting kepada masyarakat.

“Peranan masjid bukan sekadar rumah ibadat tetapi sebenarnya ia berperanan secara menyeluruh tidak cuma kepada anak kariah malah kepada masyarakat beragama Islam.

“Apabila institusi masjid diperkuatkan, ia pasti membawa impak dan kesan positif kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Tuan Guru Hai Abdul Aziz Pendang, Mohd. Ishak Mohd. Rawther, 50, berpendapat, insentif tersebut akan mengimarahkan lagi masjid dengan penganjuran program yang membawa manfaat kepada anak kariah.

“Peruntukan itu memudahkan pihak jawatankuasa masjid melaksana lebih banyak program yang mensasarkan semua lapisan masyarakat seperti tadarus, kelas hafazan, kelas taj­wid dan gotong-royong,” kata­nya.

Katanya, peruntukan tersebut akan memberi lebih keselesaan kepada masyarakat yang hadir program anjuran masjid dan menggalakkan lebih ramai anak kariah menyertai setiap program anjuran masjid.

“Dengan pengubahsuaian untuk keselesaan, pasti memboleh­kan jawatankuasa masjid me­nganjurkan lebih banyak acara dan aktiviti yang menarik orang ramai mendekati institusi masjid,” katanya.

Antara usaha murni kerajaan ialah memperuntukkan sejumlah RM1 juta kepada beberapa masjid terpilih seluruh negeri bertujuan untuk dijadikan klinik rawatan percuma yang dikawal selia oleh Kedah Medical Center (KMC) dan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ). - Kedahnews.com