Imigresen Kedah Tahan Sembilan PATI, Seorang Warga Tempatan


ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah berjaya menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand dalam 'Op Gegar' yang dilaksanakan di sebuah pusat karaoke di Taman Bandar Baru, Mergong, di sini, malam tadi.

Pengarahnya, Zuhair Jamaludin berkata, pemeriksaan telah dijalankan ke atas 34 warga asing dan tempatan yang berada di dalam premis terbabit.

Operasi tersebut dijalankan sekitar jam 10.30 malam.

"Hasil pemeriksaan mendapati lapan wanita Thailand yang berumur antara 19 hingga 31 tahun itu bekerja di premis berkenaan dan telah melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963."

"Seorang lelaki Thailand yang berumur 29 tahun pula ditahan di bawah Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63 manakala seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun turut ditahan kerana melindungi PATI," katanya.

Sementara itu, kesemua yang ditahan telah ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar bagi siasatan sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik. - Kedahnews.com