PENDANG - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Itu ungkapan tepat menggambarkan pengorbanan seorang warga emas, Mat Dan Arof, 76, yang setia menjaga isterinya, Asnah Hassan, 55, yang disahkan menghidap kanser payudara tahap empat sejak tahun lalu.
Mat Dan berkata, sebelum itu isterinya hanya sakit biasa dengan sedikit ketumbuhan di dada.
Menurutnya, isterinya disahkan menghidap kanser payudara tahap empat ketika dibawa berjumpa doktor pada Disember tahun lalu.
“Sekarang pak cik perlu tumpu sepenuh perhatian pada isteri yang dah tak mampu nak uruskan diri sendiri.
“Pelbagai cara pak cik usahakan untuk tengok isteri sembuh termasuk rawatan kampung, tapi keadaan tetap sama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kerkau, kelmarin.
Mat Dan berkata, sebelum ini dia menoreh getah sebagai sumber pendapatan, tetapi tidak lagi ke kebun sejak isterinya terlantar sakit.
Bagaimanapun katanya, mereka yang tidak dikurniakan cahaya mata bernasib baik kerana dibantu cucu saudara yang tinggal berdekatan.
“Risau juga nak tinggalkan isteri seorang diri sebab sekarang dia kerap demam. Bulan puasa baru ni pun dia demam sepanjang malam, pak cik hanya boleh tidur 15 malam saja. Malam-malam lain memang tak tidur sebab dia demam dan sakit.
“Mata dan telinga pak cik tak berapa jelas, jadi cucu saudara yang banyak mai tolong cuci payudara isteri. Kalau dibiarkan lama-lama akan berbau, jadi pak cik akan bersihkan ikut masa ditetapkan doktor,” katanya.
Mat Dan berkata, dia turut bersyukur apabila isterinya mendapat bantuan zakat sebanyak RM400 sebulan.
“Duit tulah yang kami guna untuk beli keperluan kami suami isteri,” katanya.
Kakak Asnah, Fatimah Hassan berkata, dia selalu menghantar makanan kepada pasangan suami isteri ini.
“Nak harap adik ipar, dia pun dah tua dan tak larat, jadi kalau bab makan tu saya tolong juga kadang-kadang. Sekarang pun adik saya dah tak boleh makan makanan keras sebab sakit mulut, jadi saya buatkan dia bubur saja,” katanya.
Sumber: Sinar Online