Isu Air: Harap Bersabar, 2 Tahun Lagi Orang Kedah Akan Tersenyum Lega


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah memerlukan masa kira-kira dua tahun untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang menghantui pengguna di seluruh negeri ini sejak lebih 30 tahun yang lalu.

Exco Kerajaan Negeri, Dato' Badrol Hisham Hashim berkata, peruntukan besar hampir RM1 bilion dari Bajet Kedah 2018 menjelaskan Kerajaan Negeri amat serius menamatkan masalah bekalan air yang sering menjadi rungutan ramai pihak.

"Dengan peruntukan hampir RM1 bilion yang kita peroleh ini, ianya adalah untuk menaik taraf loji-loji air di lima kawasan yang merangkumi semua daerah keseluruhannya.

"Kita cuma memerlukan masa jangkaan selama dua tahun untuk menaik taraf loji-loji berkenaan hingga selesai sepenuhnya. Maknanya, kita tender kontrak naik taraf tersebut pada awal tahun 2018, maka insyaAllah akan selesai semuanya pada tahun 2020.

"Selepas sempurna semua naik taraf loji-loji air ini, maka air terawat ini akan dapat memenuhi permintaan bekalan air di seluruh daerah di negeri kita, khususnya di kawasan-kawasan yang kita kenal pasti bermasalah," katanya ketika ditemubual Kedahnews.com di sini, hari ini.


Berhubung daerah Merbok yang sebelum ini dikenal pasti sebagai kritikal terjejas akibat masalah bekalan air ekoran hanya bergantung kepada sumber air bawah tanah, beliau menjelaskan bahawa kawasan itu menjadi tumpuan pihak Kerajaan Negeri.

Menurut Exco Kerajaan Negeri itu, masalah di kawasan itu dijangka akan selesai sepenuhnya selepas projek menaik taraf Loji Rawatan Air Jenun Baru siap sepenuhnya dan air terawat akan terus disalurkan kepada pengguna di daerah berkenaan.

"Kita beri perhatian khusus pada kawasan Merbok. Kita naik taraf Loji Rawatan Air Jenun Baru dan kita akan pasang paip yang disalurkan terus ke Merbok. InsyaAllah, selepas itu semuanya akan senyum. Buka pili, ada air bersih dan laju," katanya.


Badrol Hisham turut menzahirkan keyakinan beliau untuk Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah air secara holistik sebelum meneruskan pelan pemulihan bekalan air di negeri ini dengan menggantikan paip-paip air lama di seluruh daerah.

"Secara keseluruhan, saya yakin kita akan dapat selesaikan masalah ini pada tahun 2020, setelah itu barulah kita akan memberi tumpuan kepada proses menggantikan paip-paip lama. Kita perlu lakukan semua ini langkah demi langkah.

"Kita tahu masalah bekalan air ini sudah berlaku sekian lama. Mungkin kerajaan-kerajaan negeri sebelum ini pernah merancang, namun gagal menyelesaikan masalah ini.

"Tapi kita sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita komited selesaikan meskipun menerima pelbagai sindiran dan hinaan dari pihak tertentu. 

"Hanya selepas komitmen dari Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mengambil tanggungjawab mengemudi Kerajaan Negeri dan dengan sokongan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak, kita dapat cari peruntukan dan akan menyelesaikan masalah ini demi kepentingan rakyat kita," ujar beliau.


Exco Kerajaan Negeri itu turut menjelaskan bahawa dengan sempurnanya projek menaik taraf Loji Air Pokok Sena yang dilawati Perdana Menteri baru-baru ini, ia bakal menyelesaikan masalah bekalan air bagi pengguna di sekitar Pokok Sena, Pendang, Padang Terap dan Kota Setar.

"Baru-baru ini juga saya ada ke Kulim Hi-Tech Park dan dapat menyelesaikan sedikit masalah di sekitar kawasan di sana. Jadi saya optimis dapat menyelesaikan masalah air di negeri kita, cuma kita perlukan sedikit masa sahaja," katanya lagi.

Justeru itu, beliau berharap agar rakyat Kedah dapat memahami usaha Kerajaan Negeri itu dan bersabar dalam tempoh tersebut, apatah lagi Najib sendiri telah memberi jaminan untuk memberi fokus khusus untuk membantu menangani masalah bekalan air di negeri ini.

Badrol Hisham turut memahami perasaan marah dan kecewa rakyat Kedah yang terjejas mengalami gangguan bekalan air sehingga menghamburkan pelbagai caci maki serta carutan kesat kepada Kerajaan Negeri.

Namun sebagai Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab, pihaknya terpaksa menerima cercaan itu secara terbuka dan bersabar, serta terus bekerja keras berusaha menangani masalah tersebut bagi tempoh jangka pendek dan panjang.


"Jika kita perhatikan, kali ini Sidang Dun kita tidak lagi kecoh membicarakan tentang isu bekalan air. Sebelum ini, isu inilah mereka serang dulu. Saya yakin, Adun pembangkang pun dapat melihat kesungguhan kita dalam menyelesaikan masalah bekalan air ini.

"Kita tidak boleh lari tanggungjawab, kita kena terimalah. Saya minta maaf dan saya harap sangatlah agar rakyat yang terjejas dapat memahami bahawa usaha ini memerlukan masa dan perancangan yang teliti

"Yang penting, kita yakin dan akan pastikan rakyat Kedah bebas dari terus dibelenggu masalah bekalan air ini secara keseluruhan pada tahun 2020 nanti," ujar beliau dengan rasa rendah diri.

Adun Kuala Nerang itu turut menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri juga sudah mempunyai pelan jangkamasa panjang kira-kira 40 tahun akan datang ekoran pelbagai pembangunan infrastruktur dan prasarana yang dirancang pada masa hadapan.


"Untuk jangka panjang sebagai contoh Loji Air di Pelubang, kita naik taraf kapasitinya melebihi 100,000 mld adalah juga untuk pelan jangkamasa panjang.

"Maksudnya, kita bangunkan kawasan 'Special Special Border Economic Zone' di Bukit Kayu Hitam. Begitu juga dengan kawasan-kawasan lain yang dirangka perancangan dengan teliti untuk jangkamasa panjang, kira-kira 40 tahun yang akan datang," ujar beliau lagi.

Badrol Hisham ditemubual secara eksklusif oleh Kedahnews.com petang ini, berhubung masalah bekalan air di negeri ini sejurus selepas Sidang Dun Kedah yang berlangsung hari ini ditangguh esok pagi. - Kedahnews.com