Isu Jatuh Ranking Ke-174: TMJ Enggan Tunduk Undur


JOHOR BAHRU – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertegas tidak akan tunduk dengan desakan sesetengah pihak dan segelintir penyokong tempatan.

Ia susulan desakan agar baginda segera lepas jawatan tertinggi dalam badan bola sepak negara selepas kedudukan skuad Malaysia disahkan jatuh lagi empat anak tangga untuk menduduki ranking ke-174 dunia.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menyifatkan kritikan dan desakan berkenaan susulan laporan ranking FIFA itu semalam sengaja diadakan selain tidak mahu melihat kemajuan bola sepak.

Baginda mendakwa tidak kurang juga yang mempertikaikan kegagalan Kedah untuk beraksi pada saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) gara-gara tidak mendapat lesen akibat kelemahan FAM.

Titah TMJ lagi, FAM bukan seperti 10 tahun lalu yang mana usaha pembaharuan sedang giat dilaksanakan untuk mempertingkatkan kualiti bola sepak.

Baginda bertitah, kepimpinan baru hanya berada di FAM kurang setahun dan mereka seharusnya diberi ruang untuk melakukan penambahbaikan dan sedia melepaskan jawatan selepas penggal pertamanya berakhir.

“Agak pelik dengan mentaliti sesetengah pihak yang cuba halang usaha saya membangunkan bola sepak tanah air, sebaliknya mereka lebih gemar kritik dan berusaha menidakkan apa saya lakukan bagi pembangunan bola sepak.

“Namun saya ingin katakan kepada anda semua, saya tidak akan mengalah dan akan terus berjuang bukan untuk diri saya sebaliknya untuk semua pasukan terutama mendapatkan hak penyiaran.

“Malahan saya akan cuba memberi sekurang-kurang RM3 juta atau RM4 juta kepada pasukan yang bertanding dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

“Bagi saya, sesiapa saja cuba hasut atau ingin menjatuhkan mana-mana pihak adalah penakut dan tidak layak kritik bola sepak negara malah ibarat ‘katak di bawah tempurung’ yang pandai cakap tetapi tanpa fakta,” titahnya.

Tunku Ismail turut menegaskan setiap pasukan yang bertanding dalam saingan Liga M harus mengikut garis panduan yang ditetapkan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

Titahnya, ada sembilan garis panduan yang harus dipenuhi dan antaranya adalah program pembangunan, kemudahan tempat latihan serta laporan audit kewangan.

“Garis panduan harus diikut dan saya ingin menegaskan tidak akan berlaku pilih kasih malah tentang isu FELDA United yang masih belum dapat lesen, ia akan diputuskan dalam masa terdekat.

“Takkan awak sendiri yang tidak ikut garis panduan ditetapkan, nak salahkan FAM dan ia tidak masuk akal. Jadi kenalah ikut dan jangan nak pandai kritik saja. Oleh itu semua pihak kena memainkan peranan untuk memajukan bola sepak,” titah Tunku Ismail. – Agensi