Jabatan Pertanian Negeri Kedah Rugi RM13 Juta Akibat Banjir


ALOR SETAR - Jabatan Pertanian Negeri Kedah menganggarkan kerugian dialami sektor pertanian di negeri itu mencecah RM13 juta akibat bencana banjir awal bulan ini.

Menurut pengarahnya, Mohamed Bukhori Abdul Rahman berkata, ia berikutan kerosakan pelbagai tanaman diusahakan petani termasuk padi, sayur-sayuran dan juga buah-buahan.

"Kita mengalami dua kali kejadian banjir pada kali ini iaitu pada September dan November.

"Bagaimanapun, kejadian banjir awal bulan lalu mencatatkan kerosakan yang ketara iaitu dalam anggaran awal RM13 juta berbanding RM1.3 juta pada September lalu," katanya yang dipetik MyMetro.

Berikut adalah ucapan beliau pada sidang media Majlis Pelancaran Penuaian dan Pusat Operasi Jagung Bijian Fasa Ke-3 Kampung Sungai Batu, Mukim Bujang di Sungai Petani, semalam.

Tambah Mohamed Bukhori, antara lokasi yang paling teruk terjejas adalah di daerah Kuala Muda dan Kulim, kebanyakannya membabitkan tanaman padi.

Jelas beliau, semua kawasan yang terjejas adalah di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Oleh itu, pihaknya sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, minggu lalu bagi tindakan seterusnya.

"Dalam masa sama kita sedang meneliti jumlah kerugian sebenar serta jumlah petani yang terjejas," ujarnya. - Kedahnews.com