KUALA LUMPUR - Harimau Malaya tidak wajar terus dihukum hanya kerana kegagalan melayakkan diri ke Piala Asia 2019 ekoran kekalahan 1-4 kepada Korea Utara dalam kempen kelayakan di Buriram, Thailand pada Isnin, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Malaysia tewas dua kali berturut-turut, kedua-duanya menerusi keputusan 1-4 kepada Korea Utara untuk meletakkan mereka ke tangga tercorot Kumpulan B dengan hanya mengutip satu mata daripada lima perlawanan.
Jurulatih kebangsaan, Nelo Vingada turut dikritik peminat kerana masih gagal meraih sebarang kemenangan selepas tujuh perlawanan membimbing Malaysia sejak tiba di negara ini pada Mei lalu.
“Kita kena melihat prestasi pasukan kebangsaan dalam konteks lebih menyeluruh, jangan mudah untuk beri kecaman kerana prestasi mereka hari ini sebenarnya mencerminkan struktur bola sepak sedia ada yang memerlukan masa untuk dibaiki.
“Bukan pasukan senior bola sepak tidak bagus tapi prestasi mereka hari ini mencerminkan struktur pengurusan pada tempoh itu yang bermasalah sejak bertahun-tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas menjadi moderator sesi dialog Townhall Dialog TN50: Pemimpin Generasi Baharu Felda Aspirasi Menuju Tahun 2050 di Menara Felda di sini semalam.
Jelas Khairy, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam bidang sukan negara lebih empat tahun lalu, beliau yakin dengan perancangan masa panjang menerusi pembangunan peringkat akar umbi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bakal mengubah prestasi pasukan tersebut pada masa akan datang.
Katanya, FAM sedang usahakan sistem yang lebih tersusun,iaitu supaya lebih ramai lagi peringkat akar umbi main dalam liga dengan lebih tersusun kerana prestasi kejayaan yang dicatat oleh pasukan bawah 15, 18 dan 23 tahun dilihat lebih cerah.
“Saya faham apabila kalah, ramai kecam dan kritik, tapi ini projek jangka panjang, perlu ada semangat nasional untuk beri sokongan. Jangan tahun ini kurang berjaya, maka terus menghukum.
“Sebab pasukan bola sepak negara banyak juga muncul dengan pelbagai kejayaan terutama pasukan bawah umur. Saya yakin ada sinar di hujung terowong sukan bola sepak negara, apa yang penting jangan cepat menghukum dengan apa yang berlaku,” katanya.
Sumber: Utusan Online