KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyeru pihak penaja agar tidak berhenti daripada membantu bola sepak negara sekali pun jika beliau berundur suatu hari nanti.
Menurut Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu, mereka sepatutnya menaja demi ‘kepentingan nasional’, sambil menegaskan bola sepak adalah lebih besar berbanding dirinya.
“Saya tidak bersetuju jika saya tiada, maka penaja hendak menarik diri.
“Walaupun saya faham mana-mana individu atau syarikat yang hendak menaja, mereka mahukan ‘financial security’ (keselamatan kewangan) tetapi semua penaja perlu faham iaitu penajaan kepada bola sepak negara adalah demi ‘National Interest’ (kepentingan nasional).
“Oleh itu, walau saya ada atau tidak, mereka patut teruskan sumbangan dan membantu bola sepak tanah air. Ini kerana bola sepak tanah air adalah lebih besar dan lebih mustahak daripada saya. Ia adalah untuk rakyat.
“Apa yang kita cuba lakukan sekarang adalah memberikan semula sukan bola sepak ini kepada rakyat. Semudah itu sahaja. Tiada sifat kroni dan tiada kepentingan diri sendiri. Oleh itu, saya tidak mahu FAM mengambil satu sen pun tetapi memberi kesemua hak penyiaran kepada seluruh pasukan yang bertanding dalam negara,” katanya yang dipetik dalam Facebook rasmi FAM semalam.
Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada hasrat Pengerusi Ampersand Sports Sdn. Bhd., Tan Sri Vincent Lee untuk menarik diri sekiranya Tunku Ismail melepaskan jawatan Presiden FAM.
Dalam sidang akhbar di Johor Bahru semalam, Vincent secara terbuka menyuarakan hasrat untuk menarik diri sebagai agensi yang memegang hak eksklusif mencari penajaan bagi saingan Liga Malaysia seandainya TMJ melepaskan jawatannya dalam badan induk itu.
Menurut Vincent, pembabitan syarikat berkenaan untuk membantu FOOTBALL Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) adalah kerana yakin dengan kredibiliti dan visi TMJ yang bersungguh-sungguh mahu memajukan bola sepak tempatan.
Tunku Ismail juga menyeru semua persatuan, kelab serta penyokong bola sepak tanah air agar bersatu untuk membangunkan bola sepak negara serta skuad kebangsaan demi mencapai sasaran.
“Jika kita bersatu dan ada perpaduan, Insya-Allah kita dapat mencapai sasaran kita. Tetapi jika kita berpecah dan suka bergaduh antara satu sama lain, bola sepak negara tidak akan ke mana. Percayalah, jika kita ada perpaduan dan bersatu, banyak perkara yang akan kita capai,” katanya lagi.
Sumber: Utusan Online