Jangan Terus Cuba Sampel Gincu Di Kedai Kosmetik!


SEBAGAI seorang wanita, pernahkah anda terfikir adakah sampel gincu yang anda cuba uji di kedai kosmetik itu bersih dan bebas tanpa sebarang bakteria?

Tahukah anda sebenarnya terdapat banyak kuman di permukaan sampel gincu yang sering anda cuba di bibir setiap kali memasuki kedai kosmetik berbeza tetapi tidak dilihat mata kasar.

Portal World Of Buzz mendedahkan bahawa pada sekitar Oktober 2015 yang lalu, seorang wanita dari California, Amerika Syarikat telah menfailkan satu saman terhadap kedai kosmetik terkenal, Sephora.

Ini kerana sampel di premis itu telah mengakibatkan dirinya pula menghidap penyakit herpes yang merupakan satu virus serta akan ‘muncul’ di sekitar bibir dan mulut apabila berlaku persentuhan.

Ia juga boleh tersebar hasil aktiviti ciuman dengan individu yang pernah menderita penyakit yang sama. Ini juga dikategorikan sebagai virus kuman.


Menurut wanita itu, dia telah mencuba salah satu sampel gincu yang diletakkan di kedai kosmetik tersebut dan tak lama selepas itu dia mendapati bibirnya mengalami keradangan.

Dia turut mengatakan bahawa selepas diperiksa oleh pakar perubatan, mangsa mendapati dirinya tidak pernah mengalami herpes atau kudis sejuk itu sebelum dia melawat ke kedai Sephora dekat Hollywood.

Menurut sumber daripada TMZ.COM, pihak Sephora gagal mengemukakan peringatan secara jelas mengenai tahap kebersihan terhadap produk sample yang disediakan.

Tambahan pula, bagi sesetengah syarikat kecantikan yang lain, mereka ada memberi peringatan kepada pelanggan agar penyakit berjangkit yang tidak diingini tak berlaku tanpa disedari.

Malah, mereka turut menyediakan perunding kecantikan di butik agar dapat membantu pelanggan supaya penyakit seperti herpes itu dapat dielakkan.

Namun lain pula bagi syarikat kecantikan Sephora yang tidak berbuat seperti demikian pada ketika itu.

Wanita berkenaan telah mengambil keputusan untuk menyaman Sephora sebanyak AS$25,000 (RM105,800) kerana mengakibatkan dirinya menghidapi penyakit itu seumur hidup.


Portal Fashionista turut mengatakan bahawa jurucakap wakil syarikat Sephora telah mengeluarkan kenyataan yang berbunyi; “Kesihatan dan keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami.

“Kami sangat mengambil berat mengenai tahap kebersihan produk bagi menghasilkan kualiti yang bagus.”

Sebab itulah kita perlu sentiasa berhati-hati dalam memilih sebarang produk kecantikan lebih-lebih lagi berkaitan dengan produk yang meresap ke dalam tubuh badan.

Jadi selepas ini jika anda berkunjung ke mana-mana kedai kosmetik, pastikan berjaga-jaga ketika ingin cuba produk sampel yang disediakan.

Bayangkan berapa ramai orang yang sudah mencuba, kemudian sampai sahaja kepada anda, banyak virus yang sudah melekat.

Seeloknya, jika anda ingin mencuba gincu yang disediakan, lap terlebih dahulu permukaan gincu tersebut agar perkara yang tak diingini terjadi ke atas diri anda.

Kan lebih baik mengelak daripada mengubati. Jadikan kisah wanita ini sebagai pengajaran kepada diri anda sendiri. – Kedahnews.com