Jenama Mak Cun Terus Teroka Pasaran Antarabangsa


KUALA LUMPUR - Pengarah dan pelakon terkenal, Erma Fatima, tidak pernah menyangka jenama yang diangkat daripada karakter lakonannya, Mak Cun, bukan sekadar mendapat perhatian masyarakat tempatan, malah pada peringkat antarabangsa.

Bermula sekitar 2014 menerusi telefilem Spain Uollss dan kemudian dihasilkan pula dalam bentuk siri, setahun kemudian, sutradara terbabit tidak menjangka jenama berkenaan berkembang dengan begitu cepat sekali.

Kini, bukan setakat mempunyai Mak Cun Mart, malah Erma turut memperkenalkan produk pakaian selain barang keluarga di bawah jenama itu.

"Alhamdulillah, jika bercakap soal jenama makanan Mak Cun, kita sudah memasarkannya di Singapura. Insya Allah tidak lama lagi ia akan memasuki pasaran China dan Amerika Syarikat pula.

"Sepatutnya, proses memasarkan produk Mak Cun ke China sudah dilakukan pada Oktober, namun ia ditunda ke bulan ini. Kalau tiada aral melintang, kita akan mula memasarkan coklat, selain sos serta kicap selepas ini.

"Ketika ini, pihak kami turut sibuk menguruskan dokumen dan lesen sebelum masuk ke pasaran New York," katanya.

Selain itu, selepas terbabit dalam program Malaysia Fashion & Business Mission to New York, September lalu, jenama fesyen Mak Cun akan terbang pula ke Beverly Hills, California, pada Disember depan.

Sebelum ini, jenama fesyen berkenaan terlebih dulu diperagakan di pentas Minggu Fesyen Torino 2017, di Itali.

"Kalau hendak difikirkan, memang saya tidak menang tangan. Namun, itulah dinamakan rezeki dan kami bersyukur dengan segala apa yang diberi.

"Setiap kali ingin terbabit dengan pertunjukan fesyen pula, memang kita akan menyiapkan koleksi baharu. Bagi acara pertunjukan fesyen di Beverly Hills nanti, kita menyediakan koleksi sedia pakai," katanya.

Erma yang kini turut terbabit dalam program realiti berpaksikan keusahawanan, CEO Desa, untuk siaran TV3, juga akan memulakan penggambaran drama 20 episod Mak Cun musim keempat, Januari depan.

Siri kesukaan ramai terbabit dijangka menemui penonton saluran popular itu pada April tahun depan.

"Bagi musim terbaru nanti, kita masih mengekalkan pelakon asal seperti Umie Aida, Datuk Rahim Razali dan Balkisyh Semundur Khan.

"Selain itu, kita juga menampilkan wajah baharu seperti Ziana Zain, Datuk Awie dan Rozita Che Wan," katanya yang menjulang trofi Pengarah Terbaik, Lakon TV Terbaik dan Drama Terbaik pada Anugerah Skrin 2017 menerusi karya berjudul Pesan Dari Tuhan, baru-baru ini.

Sumber: BH Online