Jentera Pemuda Barisan Nasional Kedah Perlu Lebih Agresif Dekati Pengundi Baharu


JENTERA Pemuda Barisan Nasional (BN) mahupun UMNO di seluruh negara perlu lebih agresif dan kerja kuat untuk mendekati pengundi baharu bagi memastikan kemenangan besar kepada parti itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Ingatan Presiden UMNO/Pengerusi BN itu juga tentu ditujukan kepada Pergerakan Pemuda UMNO/BN di negeri Kedah jika mahu negeri ini dipertahankan oleh BN dengan majoriti kemenangan dua pertiga.

Kedah antara negeri yang disasarkan oleh PAS, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada PRU14..

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN berkata jumlah pengundi muda dan baharu di seluruh negara kian meningkat termasuk di Pekan sendiri yang memerlukan sayap parti itu mengatur gerak di kawasan masing-masing untuk meraih dan memperkukuhkan sokongan.

"Di Parlimen Pekan, contohnya, terdapat 23,000 pengundi muda berusia 20 hingga 40 tahun termasuk yang kali pertama mengundi. Jadinya, jentera pilihan raya Pemuda UMNO dan BN perlu sentiasa dekati dan fahami mereka.

Mesti jaga secara bersemuka, mesti jaga Facebook juga, Telegram mesti jaga, WhatsApp, kenali mereka dengan pergi rumah ke rumah, kunjungi mereka, jabat tangan mereka, mereka sakit, senang atau susah kita jentera BN tampil bantu.

Kita tidak mahu tentera yang cuai, mengelat, tidak ada disiplin, yang lesap dan longlai. Kita perlukan pemuda yang sanggup bekerja bersungguh-sungguh, siang dan malam sehingga ke tengah malam," katanya semasa berucap merasmikan Pemukiman Jentera Pemuda BN Parlimen Pekan di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Semarak, Tanjung Selangor di sini, semalam.

Najib semasa melawat Kedah baru-baru ini juga mengingatkan ahli-parti bahawa negeri ini perlu dipertahankan oleh kerajaan BN. - Kedahnews.com