KAHERAH – Tentera udara Mesir memusnahkan beberapa kenderaan digunakan pengganas dalam serangan ke atas sebuah masjid di wilayah Utara Sinai, yang bunuh semua jemaah di dalamnya.
“Selain itu, jet penggempur tentera udara kerajaan turut menyasarkan beberapa lokasi simpananan senjata dan peluru pengganas,” kata jurucakap Tamer al-Refaay dalam kenyataan dilaporkan agensi berita China, Xinhua.
Serbuan tentera itu dilakukan hanya beberapa jam selepas serangan pengganas berlaku ketika masjid yang terletak di perkampungan kecil Utara Sinai itu penuh sesak dengan orang ramai yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat.
Sekurang-kurangnya 235 jemaah disahkan terbunuh manakala 100 lagi cedera dalam insiden lewat petang Jumaat. Ini merupakan serangan pengganas pertama yang menyasarkan terus masjid dalam sejarah moden Mesir.
Setakat ini, belum ada pihak mengaku bertanggungjawab. Namun sejak 2014, pasukan keselamatan Mesir telah menentang kumpulan setia kepada militan Daesh, yang mendakwa dalang sebahagian besar kes keganasan di Mesir.
Dalam ucapan di televisyen pada malam Jumaat, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi berkata “serangan pengganas amat berdosa dan kejam itu akan hanya menguatkan lagi semangat tekad untuk bersatu menentang pengganasan.”
Sambil berikrar beliau secara penuh optimis berkata, “kami akan segera bertindak balas dengan keras terhadap kumpulan pelampau dan pengganas yang kecil ini!”
Presiden turut menerima panggilan telefon daripada pemimpin-pemimpin dunia yang memberikan salam takziah terhadap serangan tragik itu dan menyuarakan sokongan mereka kepada usaha Mesir membanteras pengganasan.
Laporan media di Mesir menyatakan angka kematian meningkat kepada 235 orang manakala lebih 100 orang cedera dalam serangan di bandar Bir al-Abed itu dan ia dianggap antara tragedi paling berdarah di negara Arab Islam itu.
Para saksi kejadian menyatakan, penyerang-penyerang bersenjata yang menaiki kenderaan lasak, bertindak mengepung masjid yang penuh sesak dengan jemaah dan kemudian memasang bom di luar Masjid Al Rawdah itu.
Penyerang-penyerang kemudian melanggar jemaah yang keluar cuba menyelamatkan diri. Kenderaan-kenderaan para jemaah masjid pula dibakar oleh pengganas untuk mengepung jalan masuk ke kawasan rumah Allah tersebut.
Presiden Abdel Fattah kemudian segera mengisytiharkan tempoh perkabungan rasmi di seluruh negara selama tiga hari dan mengadakan pertemuan dengan para menteri keselamatannya untuk membincangkan tindakan susulan.
Ketua Liga Arab, Ahmed Abul Gheit pula mengutuk serangan tersebut yang disebutnya sebagai jenayah menakutkan dan dilakukan oleh mereka fanatik mengikut ideologi pengganas ekstremis. - Kedahnews.com