JKM Beri Kaunseling, Beri Makanan Kepada Mangsa Kebakaran Di Sungai Petani


ALOR SETAR - Kesemua mangsa warganegara Indonesia yang terselamat dalam tragedi kebakaran di Kampung Sungai Gelugor, Taman Petani Jaya, Sungai Petani kini diletakkan bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda.

Menurut pegawainya, Nor Harina Ayob berkata, kesemua mangsa kini ditempatkan di surau berdekatan hasil perbincangan dengan penghulu mukim di sini.

"JKM juga akan menyediakan bantuan makanan selama seminggu sepanjang mereka ditempatkan di lokasi sementara,"katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pagi semalam.


Ujar beliau, pasukan kaunseling turut dihantar ke lokasi tersebut bagi membantu memberi perkhidmatan kepada keluarga mangsa yang masih trauma.

Tragedi kebakaran di Kampung Sungai Gelugor jam 4 pagi semalam telah mengorbankan lima mangsa termasuk suami isteri manakala seorang lagi melecur 70 peratus dan kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim disini. - Kedahnews.com