Johor Hantar Sukarelawan Bantu Pulau Pinang


JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor, hari ini mengumumkan akan menghantar kira-kira 200 Sukarelawan Darul Ta'zim (SDT) ke Pulau Pinang bagi membantu penduduk yang terjejas ekoran bencana banjir di sana.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata beliau sudah mengarahkan Jabatan Belia dan Sukan negeri untuk bertindak dan menyusun koordinasi semua anggota SDT yang akan berlepas ke Pulau Pinang dalam tempoh terdekat ini.

"Johor sedang membuat persiapan untuk menghantar rombongan pertama antara 150 hingga 200 SDT bagi membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.

"Apa yang berlaku di Pulau Pinang adalah musibah rakyat. Kita (kerajaan negeri) percaya ini adalah satu bencana dan tidak kira ideologi (politik) sebagai tanda prihatin dan menghulurkan sumbangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perjumpaan Pergerakan Puteri UMNO cawangan seluruh Johor di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, merangkap Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

Mohamed Khaled berkata, Jabatan Belia dan Sukan negeri akan menggembleng tenaga dan lihat apa yang boleh dibantu secepat mungkin.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri akan mengumumkan insentif khas kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Rabu ini selepas mengadakan perbincangan bersama EXCO.

Sumber: BH Online