PENDANG - Seluruh rakyat di negeri Kedah dijemput untuk hadir memeriahkan sambutan Pesta Pendang 2017 yang julung-julung kalinya bakal diadakan bermula esok 23, November hingga Ahad, 26 November ini.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, pelbagai program telah disusun di sepanjang empat hari pesta itu berlangsung di mana ia dapat memberi pelbagai manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.
"Ia bukan sebagai mana pesta biasa, Pesta Pendang ini penuh pengisian untuk pelbagai lapisan masyarakat. Sama ada tua atau muda, lelaki mahupun wanita, sesuai sangat untuk seisi keluarga.
"Misalnya esok, kita mulakan dengan himpunan ribuan pelajar-pelajar Taalim di seluruh daerah Pendang dan kita adakan majlis Khatam Al-Quran Taalim untuk 500 pelajar. Malamnya pula, kita bawa (Dato') Ustaz Kazim Elias dalam program ceramah agama.
,"Setiap hari, ada saja pengisian program yang memberi manfaat kepada kita semua. Malah booth-booth dari pelbagai agensi dan jabatan juga turut akan menyalurkan informasi kepada sedia," katanya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.
Suraya berkata, Pesta Pendang yang bakal berlangsung di Stadium Mini Pendang dan perkarangan sekitarnya itu juga diadakan serentak bersama sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri.
Jelas beliau, selain mempromosikan Pendang sebagai sebuah daerah yang menarik untuk dikunjung, bermacam-macam acara dan pertandingan juga akan berlangsung meriah menawarkan hadiah-hadiah yang menarik.
"Sepanjang 4 hari ini, kita akan lancarkan portal 'Menarik di Pendang', ada kawad senyap TUDM dan TLDM, demonstrasi masakan chef terkenal, Fun Ride, sukan rakyat, dialoq dengan usahawan muda, pertandingan memasak dan pertunjukkan busana muslimah.
"Pertandingan Memancing yang akan diadakan juga menawarkan hadiah RM70,000 untuk juara. Macam-macam lagi hadiah lumayan dan menarik yang disediakan. Rugilah jika orang Kedah tak rebut peluang ini," ujar beliau.
Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan, Pertanian dan Asas Tani itu berkata, Pesta Pendang itu juga bakal menganjurkan acara kesenian dan kebudayaan.
"Kita ada persembahan Mek Mulung, kemudian ada persembahan artis-artis 'evergreen' Ibnor Riza dan Salwa Abdul Rahman, malah ada persembahan Ghazal Parti yang akan mengimbas nostalgia orang dulu-dulu," katanya lagi.
Pesta Pendang 2017 yang bakal bermula pada jam 9 pagi esok merupakan program anjuran Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, agensi-agensi dan jabatan kerajaan, syarikat swasta dan usahawan tani. - Kedahnews.com