LELAKI, 48, yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu ditemui mati dalam longkang di Kilometer 111.3 Lebuhraya Utara Selatan dekat Taman Kempas, Sungai Petani semalam.
Mayat S Sugumaran ditemui orang awam pada 3 petang yang melalui lokasi berkenaan sebelum memaklumkan kepada polis trafik Kuala Muda.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, polis yang menerima maklumat kemudiannya ke tempat kejadian dan menemui mangsa terbaring di sebelah motosikalnya dalam longkang itu.
Katanya, siasatan awal polis di tempat kejadian dipercayai Sugumaran dalam perjalanan dari arah Butterworth ke Alor Setar, namun sebaik tiba tempat kejadian motosikal Yamaha LC135 ditunggang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang.
"Akibat kejadian itu mangsa yang bekerja dengan syarikat penghantar barangan dan tinggal di Taman Desa Jaya, Sungai Petani mati di tempat kejadian.
"Polis percaya kejadian berlaku dua hari lalu namun tidak disedari sesiapa, malah kita menerima laporan kehilangan mangsa malam kelmarin daripada ahli keluarganya selepas mangsa tidak pulang ke rumahnya," katanya dihubungi semalam.
Saifi berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan ForensikHospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.
Sumber: MyMetro