AKSI final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok bukan sekadar menjadi perlawanan penutup musim ini, malah menjadi penentuan siapa jurulatih yang layak dinobat sebagai jurulatih terbaik musim ini.
Pengendali Kedah, Nidzam Adzha Yusoff dan jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais masing masing sudah merangkul satu trofi dan pasti kemenangan meraih piala berprestij itu bakal menyaksikan salah seorang daripada mereka muncul juara berganda pada musim ini.
Nidzam boleh mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi skuad Helang Merah itu musim lalu, sementara Morais memiliki peluang keemasan untuk mencipta sejarah sebagai pengendali pertama skuad Harimau Selatan yang berjaya melengkapkan trofi domestik dengan Piala Malaysia satu-satunya trofi yang belum menghiasi kabinet juara Liga Super empat kali berturut-turut itu.
Namun, Nidzam enggan terlalu memikirkan mengenai situasi itu, sebaliknya hanya mahu fokus terhadap tanggungjawabnya sebagai pengendali pasukan dengan mereka turun dengan misi memastikan Piala Malaysia kekal di bumi Darul Aman.
“Pada saya, itu bukanlah perkara yang begitu penting untuk difikirkan. Saya hanya mahu menjalankan tanggungjawab sebagai jurulatih, manakala selebihnya terpulang kepada pemain kerana mereka yang akan beraksi di atas padang.
“Apapun, saya yakin saya sudah menyiapkan pasukan yang terbaik untuk diturunkan pada aksi final malam esok (malam ini). Mungkin Stadium Shah Alam sekali lagi akan membawa tuah kepada pasukan ini.
“Kami turut mengharapkan aksi dapat ditentukan dalam tempoh 90 minit, namun apa pun yang terjadi sama ada beraksi masa tambahan mahupun sepakan penalti penentuan, kami sudah bersedia,” katanya pada sidang media menjelang aksi final itu di Stadium Shah Alam, semalam.
Pada masa sama, Nidzam yang juga bekas pemain Kedah mengakui tekanan selaku jurulatih lebih dirasainya berbanding menjadi pemain menjelang aksi final itu.
“Memang situasi yang berbeza jika hendak dibandingkan dengan beraksi di pentas akhir sebagai pemain kerana selaku pemain, tiada apa yang perlu dirisaukan selain kita hanya perlu menunjukkan aksi yang terbaik sahaja di atas padang.
“Sementara tugas jurulatih ini lain. Kita perlu menyiapkan segalanya daripada mula latihan sehinggalah tamat perlawanan. Jadi, ia satu tanggungjawab yang begitu besar, namun saya berjanji memberikan yang terbaik demi penyokong yang sentiasa memberi sokongan,” katanya.
Sumber: MyMetro